suria

Lebih 75 Peratus Stesen Petron Dijenama Semula

KOTA KINABALU: Lebih 75 peratus daripada 560 stesen Petron di seluruh negara kini dijenamakan semula, termasuk 28 stesen minyak di Sabah.

Ketua Perdagangan Runcit Petron Malaysia, Faridah Ali berkata, menerusi penjenamaan semula itu pihaknya akan terus memberikan produk minyak dan servis yang terbaik kepada pelanggan.

"Sempena penjenamaan semula dan naik taraf stesen Petron, stesen kami mengadakan karnival sebagai tanda menghargai pelanggan.

"Sambutan ini diadakan sempena pengenalan Petron di Sabah dan mengucapkan terima kasih kepada pelanggan yang telah menyokong kami, selain peluang bagi pengusaha stesen menjalin ikatan yang lebih kukuh dengan pelanggan mereka," katanya ketika melancarkan Hari Penghargaan Pelanggan di stesen minyak Petron Ulam North, di sini, Jumaat.

Faridah berkata, karnival Petron Extravaganza Ria Hari Pelanggan Petron yang diadakan pertama kalinya di Sabah itu menawarkan pelbagai aktiviti selain mencuba produk Petron, iaitu Blaze 97, Blaze 95, Diesel Max dan minyak pelincir.

Beliau berharap karnival selama dua hari berakhir esok itu dapat mengeratkan lagi hubungan antara pengusaha stesen dengan pelanggan serta masyarakat.

"Selain membekalkan minyak berkualiti, kami menyediakan pelbagai kemudahan di bawah satu bumbung seperti program khidmat masyarakat 'Go-To Safety Points' (GTSP) di mana Petron bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia untuk membantu membanteras jenayah dan mengutamakan keselamatan," katanya.

Beliau berkata, program GTSP turut dilaksanakan di stesen di Sabah bagi meyakinkan pelanggan dan masyarakat umum agar merasa lebih selamat dengan kehadiran polis.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Faridah berkata, pihaknya akan menganjurkan program seumpama itu secara berperingkat selaras penjenamaan semula stesen Petron di beberapa negeri lain.

"Terdapat dua atau tiga stesen Petron dibuka tahun ini. Di Sabah kita mempunyai 50 stesen minyak, termasuk 28 dijenama semula dan sekarang kita tengah menjenamakan semula stesen di persekitaran Sandakan," katanya.

Faridah turut menyampaikan sumbangan sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada lima buah rumah kebajikan di sekitar Kota Kinabalu dan sebuah organisasi perubatan selain sumbangan wang tunai, beras, minyak masak dan mata ganjaran Petron Miles.

Pada majlis sama, Faridah diiringi Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, Herdiansah Abdul Karim menghadiahkan topi keledar dan jaket keselamatan kepada penunggang motosikal sebagai usaha berterusan menggalakkan keselamatan jalan raya.


Petron, Faridah Ali

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain