suria

Usahawan Dalam Talian Berpeluang Nikmati Bantuan - Puim

KOTA BAHARU: Persatuan Usahawan Internet Malaysia (PUIM) akan membantu usahawan atau peniaga dalam talian seluruh negara untuk membangunkan perniagaan masing-masing melalui pelbagai bantuan berbentuk khidmat nasihat dan geran.

Presidennya Mohd Azrul Mohd Nor berkata peluang perniagaan melalui internet yang luas perlu dimanfaatkan sewajarnya oleh usahawan seluruh negara.

"Seramai 18,866 peniaga dalam talian yang berdaftar dengan PUIM setakat ini berpeluang menikmati bantuan geran sehingga RM100,000," katanya ketika ditemui selepas Slot Sembang Santai PUIM bersama usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di sini, Rabu.

Beliau berkata PUIM akan bertindak sebagai perantara bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi usahawan dalam talian dan akan cuba membantu menyelesaikannya dalam usaha memasarkan perniagaan mereka.

Mohd Azrul berkata geran tersebut adalah hasil kerjasama PUIM dengan beberapa pihak termasuk Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), SME Corporation dan SME Bank.

Beliau berkata usahawan juga berpeluang mendapat geran dan pinjaman terus daripada MARA dan SME Bank bagi menjalankan perniagaan atas talian.

PUIM juga menyediakan Geran ECOMM, E-Payment Gateway serta kedai Online yang bakal dibuka bagi usahawan yang berkelayakan.

Program terbabit dihadiri lebih 100 peserta yang terdiri daripada peniaga dan usahawan dalam talian di Kelantan.

Peserta program, Azham Abdul Rahman, 22, berkata kemudahan teknologi internet memang dimanfaatkan sebagai satu kaedah pemasaran dalam perniagaan pakaian yang diusahakannya sejak dua tahun lalu tetapi tiada pihak yang memantau atau menyelarasnya secara sistematik.

"Dengan adanya persatuan ini semua usahawan bukan hanya dapat berkongsi pengalaman dalam pertemuan berkala tetapi juga akan mendapat khidmat nasihat fasilitator berkelayakan dari PUIM selain berpeluang mendapat geran untuk mengembangkan perniagaan," katanya.


Puim, Internet, MARA, SME

Artikel Lain