suria

KOTA KINABALU: Perkhidmatan Ejen Bank Berdaftar (EBB) Bank Simpanan Nasional (BSN) mencatatkan transaksi bernilai hampir RM2 bilion sejak dilancarkan pada 27 Januari 2012 hingga 12 Ogos lepas, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, Khamis.

Beliau berkata, dalam tempoh itu juga, sebanyak 5,228 EBB diwujudkan di seluruh negara, majoritinya di kawasan luar bandar, iaitu sebanyak 4,071.

Menurutnya, perkhidmatan yang disediakan melalui EBB ialah pembayaran bil utiliti, deposit tunai sehingga RM500 bagi setiap transaksi, pengeluaran tunai sehingga RM500 bagi setiap transaksi, pembelian tanpa tunai, tambah nilai prabayar telefon bimbit dan pembelian Sijil Simpanan Premium BSN sehingga RM500 bagi setiap transaksi.

"Perkhidmatan EBB adalah satu contoh yang mendahulukan rakyat.

"Ini adalah usaha mendemokrasikan perkhidmatan bank dengan memberi kemudahan kepada rakyat di kawasan yang tidak mempunyai cawangan bank, khususnya di luar bandar," katanya ketika melawat Wisma BSN di sini.

Ahmad berkata, BSN sedang dalam usaha meningkatkan kualiti EBB, antaranya dengan menyediakan latihan khususnya perbankan secara dalam talian.

Terdahulu, Ahmad menghadiri Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Persekutuan Sabah dan menjelaskan penguatkuasaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April tahun depan.

Beliau turut meminta penjawat awam supaya bersikap amanah dan bijaksana serta cekap melaksanakan tugas tanpa melibatkan kos yang banyak, di samping berdedikasi dan efektif ketika memberi perkhidmatan kepada rakyat.

BSN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain