Keuntungan Sebelum Cukai Suku-2 Petronas Meningkat Kepada RM28.1 Bilion

Diterbitkan: Rabu, 13 Ogos 2014 9:05 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai Petronas bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun, 2014, meningkat 28 peratus kepada RM28.1 bilion daripada RM22 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas berikutan sokongan hasil yang tinggi.

Hasilnya meningkat 15 peratus kepada RM85.4 bilion daripada RM74.4 bilion sebelumnya, dipacu oleh peningkatan pengeluaran, jualan gas tinggi dan kadar pertukaran yang menguntungkan.

Kuantiti pengeluaran meningkat susulan usaha pengukuhan pengeluaran dan pengeluaran baharu dari Malaysia dan Iraq, penyambungan semula pengeluaran di South Sudan dan pengeluaran tambahan dari Kanada, kata Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Petronas, Datuk George Ratilal pada taklimat media, di sini, Rabu.

Bagi tempoh separuh pertama yang berakhir pada 30 Jun, 2014, keuntungan sebelum cukai Petronas meningkat sembilan peratus kepada RM55.3 bilion daripada RM50.8 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Hasil melonjak 12 peratus kepada RM169.41 bilion daripada RM151.10 bilion sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas menjangkakan separuh kedua tahun ini mencabar di tengah-tengah bekalan kukuh namun pertumbuhan permintaan sederhana yang boleh memberi tekanan kepada harga minyak mentah dan pendapatan syarikat.

Beliau berkata, Petronas bernasib baik jika dapat mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM94.6 bilion bagi tahun 2014 kerana harga minyak mentah sekarang dijangka boleh turun di bawah antara US$95 dan US$100 setong daripada US$108 setong pada separuh pertama.

"Keadaan tidak akan begitu mudah di masa depan. Semakin sukar untuk membangunkan minyak dan gas, dan kos terus meningkat," katanya.

Jumlah aset Petronas meningkat kepada RM544.1 bilion pada 30 Jun, 2014 daripada RM528.7 bilion pada 31 Disember 2013.

Pelaburan modalnya setakat ini berjumlah RM26.3 bilion, di mana 64 peratus di dalam negara, manakala 36 peratus di luar negara.

Mengenai operasi antarabangsa Petronas, Shamsul berkata, syarikat itu menyasar meningkatkan sumbangan keuntungan bersihnya kepada 20 peratus daripada 11 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau juga mengumumkan bahawa kerajaan China pada 17 Julai meluluskan usaha sama Sinopec-Huadian milik negara itu untuk membeli 15 peratus pegangan dalam kemudahan eksport LNG bersepadu Petronas di Kanada.

Usaha sama itu menjadi rakan kongsi strategik keempat Petronas dalam projek tersebut selain daripada Japex Montney Ltd (10 peratus), Brunei Petroleum (tiga peratus) dan Indian Oil Corp Ltd (10 peratus).

Ketika ini, Petronas, yang memegang 62 peratus pegangan dalam projek itu sedang berunding dengan tiga atau empat rakan kongsi dari Jepun dan Asia Barat tetapi tidak terburu-buru untuk mengurangkan pegangannya.

Shamsul berkata, operasi Petronas di Russia terus berjalan lancar meskipun sekatan ekonomi ke atas Rusia dan operasi ketenteraan AS di Iraq untuk membanteras pemberontak.

Mengenai pembangunan bersepadu petrokimia dan kilang penapis di Johor, Shamsul berkata Petronas telah memberikan 11 kontrak bernilai RM30 bilion, terutamanya bagi pembangunan prasarana. 


Tags / Kata Kunci: Petronas , Iraq , keuntungan

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan