suria

Perak Pertimbang Permohonan Malindo Air Operasi di LTSAS

IPOH: Perak sedang menimbang permohonan syarikat penerbangan hibrid, Malindo Air, yang mahu bekerjasama bagi penggunaan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, Malindo Air berhasrat menjadikan Ipoh sebagai lokasi penerbangan perkhidmatan udara syarikat itu ke beberapa destinasi baharu.

"Dalam perbincangan hari ini, mereka mengemukakan beberapa laluan baharu dari Ipoh, kita sedang menimbangkan permohonan itu dan belum membuat keputusan secara mutlak," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan ketua kampung serta pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung negeri Perak di sini, Rabu.

Beliau berkata, dalam perbincangan awal yang berlangsung pada tengah hari tadi, kedua-dua pihak juga akan melihat secara positif beberapa cadangan, termasuk inisiatif penambahan sektor baharu yang tidak hanya melibatkan penerbangan domestik malah antarabangsa seperti ke Indonesia, Singapura dan destinasi lain.

Oleh itu, kerajaan negeri mengharapkan perkembangan positif daripada perbincangan ini dan beberapa aspek, termasuk terma dan syarat akan diperhalusi, katanya.

"Mereka memberi jaminan boleh bermula dengan segera, tetapi kami memberi mereka beberapa bulan.

"Kami perlu perbincangan lanjut mengenai terma dan syarat, mereka juga boleh menjangka sedikit bantuan daripada kerajaan negara yang mungkin bukan dalam bentuk ekuiti tetapi layanan sama yang diberikan kepada Firefly sebelum ini," katanya.

Zambry berkata, syarikat itu berhasrat menggunakan pesawat ATR72-600 serta yang lebih besar.

"Kerajaan negeri juga mempunyai perancangan lain bagi LTSAS, termasuk melibatkan industri penerbangan yang menjurus kepada usaha pelaburan serta tarikan pelancongan," katanya.

Pada 9 Julai lepas, Zambry berkata, LTSAS sebelum ini berdepan masalah lubang benam, bagaimanapun selepas kerja naik taraf, ia kini boleh dugunakan dengan selamat.

Pada Februari lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Perak kecewa apabila Kementerian Pengangkutan, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) serta syarikat perunding pembinaan bagi kerja naik taraf LTSAS gagal mengemukakan laporan kajian penuh.

PAC Perak mendapati landasan LTSAS tidak boleh digunakan pesawat lebih besar selepas kerja pemanjangan serta pelebaran bernilai RM15.22 juta selesai.

Antara puncanya ialah berlaku sembilan lubang benam pada struktur tanah landasan itu.

Kerja menaik taraf LTSAS turut membabitkan peningkatan kemudahan Kompleks Kastam dan Imigresen yang bermula April 2011, telah siap sepenuhnya pada November 2012.

Bagaimanapun ekoran masalah yang timbul, bahagian dinaik taraf yang sepatutnya beroperasi pada Januari 2013 tidak dapat digunakan.

Sebelum ini, kerajaan negeri merancang menjadikan LTSAS sebagai pusat penyelenggaraan, pembaikan dan operasi penerbangan serta pusat simulasi helikopter Asia Pasifik.


Malindo Air, Ipoh

Artikel Lain