suria

LHDN Dijangka Kutip RM140 Bilion Cukai Tahun Ini

Ahmad Husni Hanadzlah
KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berada pada kedudukan yang baik untuk mengutip cukai bernilai RM140 bilion tahun ini, peningkatan sebanyak 8.5 peratus berbanding 2013.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, setakat ini, kutipan cukai sudah melepasi tempoh yang sama pada tahun lepas.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Percukaian Kebangsaan 2014 di sini, Selasa.

Tahun lepas, LHDN mengutip cukai bernilai RM129 bilion berbanding RM125 bilion pada 2012 dan RM110 bilion pada 2011.

"Berdasarkan rekod cemerlang ini, saya yakin sepenuhnya bahawa masanya sudah tiba untuk LHDN menjadi badan autonomi dari segi sara diri dan tadbir urus sendiri, terutama bersabit sumber manusia dan pengurusan kewangan," katanya.

Mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada 1 April 2015, Ahmad Husni berkata, cukai itu diperlukan untuk menyediakan kemudahan berkualiti kepada rakyat.

Walaupun cukai merupakan hasil terbesar khazanah negara, GST akan meluaskan dan menstabilkan lagi asas hasil, katanya.

Regim percukaian baharu itu katanya, akan membantu meningkatkan Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020.


Artikel Lain