suria

Huawei, TM Bekerjasama Bangunkan Teknologi Akses Generasi Akan Datang

KUALA LUMPUR: Huawei dan Telekom Research and Development Sdn Bhd (TM R&D) bekerjasama membangunkan teknologi akses generasi akan datang bagi talian tetap dan tanpa wayar di Malaysia.

Kerjasama itu dilaksana menerusi satu memorandum persefahaman yang ditandatangani kedua-dua syarikat.

TM R&D merupakan syarikat milik penuh Telekom Malaysia Bhd, manakala Huawei pula peneraju penyedia penyelesaian teknologi komunikasi dan maklumat global.

Dalam kenyataan bersama di sini, kedua-dua syarikat berkata mereka akan mencari satu penyelesaian paling sesuai untuk kedua-dua perkhidmatan talian tetap dan jalur lebar Malaysia.

Kedua-dua pihak juga akan berkongsi fasiliti penyelidikan dan menggalakkan pemindahan pengetahuan selain membangunkan makmal di TM Innovation Centre di Cyberjaya yang terletak dalam Koridor Raya Multimedia Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif TM R&D, Dr Gopi Kurup berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen syarikat dalam mengembangkan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi Malaysia yang kini menjadi rujukan global dalam rangkaian kerja pintar berorientasikan masa depan.

"Kami percaya teknologi akses generasi seterusnya akan terus mempertingkat penggunaan jalur lebar dalam kalangan pelanggan kami dan liputan tanpa wayar TM untuk jangka panjang," katanya.


Huawei, TM R&D, teknologi komunikasi

Artikel Lain