suria

ASB2 Kini Melebihi RM1 Bilion Sejak Dilancarkan April Lepas - PNB

Mahasiswa Politeknik Merlimau Melaka (PMM) bersama logo ASB2 selepas majlis pelancarannya peringkat Melaka pada Isnin.
MELAKA: Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) yang diuruskan Permodalan Nasional Berhad (PNB), kini mencecah lebih RM1 bilion, dengan jumlah pemegang unit lebih 52,000 dalam tempoh empat bulan sejak dilancarkan pada 2 April lepas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Hamad Kama Piah Che Othman berkata, prestasi jualan ASB2 lebih baik berbanding rekod unit amanah yang lain.

"Dengan 'trademark' ciri produk yang ringkas, mudah difahami, ASB2 akan menjadi satu lagi pilihan utama masyarakat Bumiputera termasuk generasi muda atau Generasi Y, yang menjadi tumpuan sebagai kumpulan sasaran bagi pelaburan ASB2 ini.

"Pencapaian lebih RM1 bilion ini sejak pelancaran merupakan prestasi yang sangat memberangsangkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran ASB2 peringkat negeri Melaka yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron di sini, Isnin.

ASB2 yang merupakan dana amanah ke-10 yang diurus PNB, dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuala Lumpur, dengan saiz RM10 bilion unit dibuka kepada pelabur Bumiputera berumur seawal enam bulan dengan pelaburan permulaan mampu milik, iaitu serendah 10 unit.

Bagi membolehkan seramai mungkin pelabur meraih manfaat daripada pelancaran ASB 2, jumlah pelaburan maksimum untuk setiap individu dihadkan kepada 200,000 unit untuk Akaun Dewasa dan 50,000 unit untuk Akaun Bijak.

Beliau berkata, PNB tidak menetapkan sebarang sasaran bila tarikh dana RM10 bilion boleh dicapai kerana yang lebih penting ialah pendedahan di semua peringkat dan pelosok negeri bagi semua meraih manfaat ASB2.

PNB sehingga kini berjaya menggembleng hampir 187.5 bilion unit milik 12.02 juta pemegang unit, dan sekiranya dana pemilik pemegang unit dicampur dengan proprietari, PNB kini mengurus sejumlah RM271 bilion, kira-kira 15.6 peratus daripada permodalan pasaran negara.

PNB juga masih mampu menawarkan kadar pengagihan pendapatan yang kompetitif kepada para pelabur, dengan sejumlah RM12.88 pada tahun lepas untuk pengagihan pendapatan, pada tahun lepas.

Sementara itu, Idris berkata, dengan mengambil kira pemilikan pelbagai akaun oleh sesetengah pelabur, anggaran kasar menunjukkan lebih 48.66 peratus daripada penduduk Melaka adalah pemegang-pemegang unit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Idris juga berkata, beliau akan mencadangkan semua murid sekolah rendah dan menengah di Melaka menabung dengan sekurang-kurangnya jumlah minimum RM10 dan akan diberi ganjaran 10 unit percuma oleh PNB sehingga 31 Dis ini.

"Dengan jumlah RM10 itu, pendapatan yang diperoleh akan berganda pada tahun-tahun mendatang. lebih-lebih lagi mereka yang melabur pada umur awal iaitu bagi murid darjah satu berumur tujuh tahun mungkin akan mencecah ribuan ringgit apabila berusia 18 tahun," katanya.


ASB2, PNB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain