suria

Haji: TH Belanja RM130 Juta Setahun Tampung Tambang

KUALA TERENGGANU: Lembaga Tabung Haji (TH) membelanjakan kira-kira RM130 juta setahun bagi menanggung perbelanjaan jemaah haji menunaikan Rukun Islam yang kelima itu setiap tahun.

Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji TH Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata ini kerana tambang keseluruhan untuk menunaikan haji ialah RM16,155 seorang.

"Bagaimanapun para jemaah hanya membayar sebanyak RM9,980 sahaja manakala selebihnya baki sebanyak RM6,175 ditanggung oleh TH," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kursus Perdana Haji peringkat negeri yang dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman di sini malam Jumaat.

Di samping itu katanya, TH juga membelanjakan kira-kira RM3.6 juta setahun bagi mengadakan kursus haji di seluruh negara bagi membimbing bakal haji agar mereka benar-benar bersedia ketika berada di tanah suci.

Berhubung kuota haji ke tanah suci, Syed Saleh berkata oleh kerana keadaan di tanah suci Makkah ketika ini sedang dalam proses pembinaan dan pembesaran, kerajaan Arab Saudi telah mengurangkan kuota haji bagi semua negara sebanyak 20 peratus.

"Ini bermakna kita mampu menghantar jemaah haji seramai 22,320 orang tahun ini, seperti juga tahun lepas," katanya.

Syed Saleh berkata, penerbangan pertama jemaah dari negara ini ialah pada 27 Ogos manakala penerbangan terakhir pada 27 Sept melibatkan 64 penerbangan kesemuanya.

Mengenai wabak penyakit Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV) dan Ebola, beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia dan Arab Saudi telah mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak wabak itu daripada dijangkiti jemaah.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata seramai 1,244 bakal haji dari Terengganu akan menunaikan fardu haji tahun ini dengan lima penerbangan berlepas terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini ke Madinah dan Jeddah bermula 8 Sept.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 35 bakal haji ditaja kerajaan negeri Terengganu.

"Sebelum ini kita telah mohon kepada Perdana Menteri untuk menghantar 300 jemaah di bawah tajaan kerajaan negeri melibatkan kakitangan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan pemimpin masyarakat tapi disebabkan tanah suci dalam proses pembinaan, permintaan tidak dapat dipenuhi," katanya.


Tabung Haji

Artikel Lain