suria

Seagate Labur RM1.05 Bilion Di Batu Kawan

GEORGE TOWN: Seagate, sebuah syarikat penyimpanan data Amerika, memasuki Taman Perindustrian Batu Kawan dengan pelaburan semula berjumlah RM1.05 bilion dalam tempoh lima tahun.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata kemasukan Seagate itu akan bertindak sebagai satu rangsangan ekonomi bagi pertumbuhan sektor perkilangan Pulau Pinang dan memperakui Batu Kawan sebagai lokasi pilihan global untuk dijadikan tempat pelaburan, bekerja dan tinggal.

"Penang Seagate Industries (M) Sdn Bhd menandatangani satu perjanjian bulan lepas untuk membeli 16 hektar tanah dengan pilihan untuk membeli 12 hektar lagi di Batu Kawan," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Lim berkata kerajaan negeri akan terus menyokong sektor perkilangan yang telah menyumbang hampir 50 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar Pulau Pinang dalam lima tahun kebelakangan ini.

Pelaburan semula oleh Seagate itu merupakan pelaburan besar selepas Temasek Holdings dari Singapura, yang menandatangani perjanjian usaha sama untuk membangunkan Taman Perindustrian Teknologi Tinggi di Batu Kawan dan hab Penyumberan Luar Perniagaan di Bayan Baru, bernilai RM11.3 bilion.

Syarikat yang ditubuhkan pada 1979 dan disenaraikan di NASDAQ itu bergiat dalam industri penyimpanan data dan mengeluarkan penyelesaian storan dan pemacu cakera keras dengan tenaga kerja berjumlah lebih 50,000 orang.

Penang Seagate yang diasaskan pada 1988 mengendalikan kilang pengeluaran pemacu cakera keras dan sebuah pusat sumber teknologi maklumat berkongsi. 


Seagate, Pulau Pinang

Artikel Lain