suria

Keuntungan I-Bhd Sebelum Cukai Suku Kedua Naik Kepada RM25.7 Juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai I-Bhd pada suku kedua berakhir 30 Jun 2014 meningkat 221 peratus kepada RM25.7 juta berbanding RM8.01 juta yang dicatat dalam pada tempoh yang sama tahun lepas.

Hasil meningkat kepada RM70.65 juta daripada RM33.80 juta sebelum ini.

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, untuk enam bulan pertama tahun ini, ia mencatatkan hasil yang lebih tinggi dan keuntungan sebelum cukai masing-masing sebanyak RM60.9 juta dan RM13.1 juta.

Timbalan Pengerusi I-Bhd, Datuk Eu Hong Chew berkata, prestasi menggalakkan ini disumbangkan oleh pertumbuhan pesat dalam segmen pembangunan hartanah sebanyak 76.9 peratus kepada hasil kumpulan.

Katanya, pertumbuhan itu selaras dengan rancangan kumpulan yang mahu segmen itu mencapai hasil tetap sebanyak RM500 juta setahun menjelang 2018.

"Dengan hanya kira-kira lima peratus binaan yang diluluskan di i-City telah selesai setakat ini, nilai taksiran pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM9 bilion akan menyediakan asas yang kukuh kepada segmen pembangunan hartanah dalam tahun-tahun akan datang," kata Eu

Memandangkan pembangunan hartanahnya mengalami pertumbuhan mantap, syarikat berhasrat mencipta satu lagi kejayaan iaitu dengan menumpukan kepada portfolio pelaburan hartanah.

Syarikat mahu supaya separuh daripada prestasinya datang daripada aliran pendapatan berterusan seperti pelaburan hartanah dan segmen aktiviti senggang menjelang 2018.

"Sekarang ini, pelaburan hartanah kami berjumlah kira-kira RM77 juta dan kita mahu mewujudkan satu lagi asas pendapatan yang kukuh apabila pelaburan ini mencecah lebih daripada RM1 bilion dengan pelaburan kita di pusat membeli-belah, tempat letak kereta, pusat-pusat data dan hotel." kata Eu.

Katanya, I-Bhd dijangka terus mencapai pertumbuhan dua digit sehingga mencapai matlamat tahunan sebanyak RM500 juta hasil pada setiap tahun menjelang 2018, yang setimpal dengan permodalan pasarannya sebanyak RM1 bilion.

Sebagai sebahagian daripada pelan pulangan pemegang saham, kumpulan itu telah menetapkan dasar dividen dengan membayar sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keuntungan selepas cukai sebagai dividen untuk tahun kewangan berakhir 2014 dan seterusnya.


I-Bhd, Datuk Eu Hong Chew, i-City

Artikel Lain