suria

Hasil Cukai Langsung Negara Meningkat Enam Bulan Pertama Tahun Ini

MELAKA: Pungutan hasil cukai langsung negara meningkat lima hingga enam peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar berkata, peningkatan itu disumbangkan oleh prestasi positif kutipan cukai berbanding enam bulan pertama tahun lepas.

"Secara keseluruhan, LHDN berjaya mengutip RM129 bilion cukai langsung pada tahun lepas, dan saya yakin jumlah kutipan cukai tahun ini akan meningkat sekiranya tidak berlaku gangguan terhadap ekonomi domestik dalam tempoh enam bulan kedua ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar kewangan dan pengauditan sektor awam anjuran Pusat Pengajian Perakaunan Universiti Utara Malaysia di sini, Rabu.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah cukai langsung berkenaan.

Katanya kedudukan ekonomi yang kukuh, mempengaruhi jumlah kutipan cukai selain menentukan keupayaan pembayar untuk menjelaskan cukai, dengan sebahagian besarnya disumbangkan oleh syarikat perniagaan.

Sementara itu, Mohd Shukor berkata, transformasi kutipan cukai melalui pengenalan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada tahun depan dijangka mendorong peniaga menyediakan rekod perniagaan yang lebih teliti dan konsisten.

Beliau berkata, ini secara tidak langsung membantu meningkatkan hasil kutipan cukai langsung negara.

"Kutipan cukai ini sangat penting bagi memastikan pembangunan infrastruktur negara dapat dilakukan, selain memberi keselesaan kepada rakyat," katanya.

GST diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2014 di Parlimen Oktober tahun lepas, dan akan dilaksanakan mulai 1 April 2015, menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan.

Sistem cukai baharu itu menetapkan enam peratus kadar cukai berbanding cukai jualan dan perkhidmatan berjumlah 16 peratus.


Artikel Lain