suria

2014 Tahun Baik Untuk Industri Sukuk- Standard Chartered Saadiq

KUALA LUMPUR: Standard Chartered Saadiq, unit perbankan Islam Standard Chartered Bank Malaysia, mengunjurkan 2014 merupakan tahun yang baik untuk industri Sukuk Malaysia, dipacu oleh ekonomi yang kukuh.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Global Perbankan Pengguna Standard Chartered Saadiq, Wasim Saifi, berkata bank itu sudah berbincang dengan beberapa pelanggan bagi melaksanakan terbitan Sukuk tertentu.

"Daripada perspektif global, sudah ada minat yang kukuh terhadap terbitan Sukuk ringgit Malaysia.

"Ini terbukti daripada terbitan oleh sebuah institusi Turki yang mewakili jumlah besar yang dikumpul oleh pelabur luar negara dalam satu terbitan Sukuk tunggal," katanya.

Wasim berkata demikian kepada media pada sesi pendidikan media mengenai Perbankan Islam Standard Chartered Malaysia baru-baru ini.

TF Varlik Kiralama, sebuah syarikat pajakan aset milik penuh bank terkemuka di Turki yang mengambil bahagian dalam terbitan itu, baru-baru ini menerbitkan Sukuk RM800 juta menerusi program sulung Sukuk Murabahah RM3 bilion.

Ia merupakan terbitan pertama sukuk dalam ringgit Malaysia oleh penerbit Turki dalam pasaran modal hutang Malaysia.

Wasim berkata dua suku pertama baik untuk industri sukuk, disokong oleh produk yang kukuh dalam keluaran dalam negara kasar yang mencatat pertumbuhan 6.2 peratus pada suku pertama.

Walaupun kadar faedah utama Malaysia dijangkakan terus meningkat, beliau berkata ia tidak akan menghalang terbitan memandangkan peminjam tidak mungkin menangguhkan usaha mengumpul wang walaupun kos untuk berbuat demikian akan meningkat.

Kadar Dasar Semalaman Malaysia (OPR) dinaikkan sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus pada 10 Julai 10, kenaikan pertama dalam tempoh tiga tahun.

"Jika OPR naik, kos mengumpul wang juga akan meningkat, tanpa mengira pinjaman bank atau sukuk, dan memberi kesan ke atas semua pilihan. Oleh itu, ia tidak akan melambatkan terbitan sukuk," katanya.

Menurut Wasim, pasaran sukuk juga mendapat rangsangan dari luar negara hasil daripada urus niaga yang teguh tahun ini, selain Malaysia.

Bagi separuh pertama 2014, Malaysia menyumbang US$41.7 bilion atau 63 peratus daripada terbitan sukuk baharu dalam pasaran global.

Dalam pasaran sukuk utama, terbitan baharu mencatat pertumbuhan mantap sebanyak 8.2 peratus di peringkat global pada separuh pertama 2014, mencecah US $66.2 bilion daripada US$61.2 bilion pada separuh yang sama tahun lepas, dipacu oleh pasaran tradisional di Malaysia, Majlis Kerjasama Teluk, dan urus niaga di Turki, Pakistan dan United Kingdom (UK).

Tahun ini juga menandakan tahun penting bagi terbitan sukuk.

Hong Kong sedang dalam proses menerbitkan sukuk negara pertamanya pada September. UK pula bakal menyaksikan terbitan sukuk pertama negara itu bernilai 200 juta pound pada Jun. 


Standard Chartered Saadiq

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain