suria

Boeing Serah 787-9 Dreamliner Pertama ANA

SINGAPURA: Boeing dan All Nippon Airways (ANA) hari ini meraikan penyerahan 787-9 Dreamliner pertama syarikat penerbangan itu.

ANA akan menjadi syarikat penerbangan pertama di dunia menggunakan kedua-dua varian 787-8 dan 787-9 barisan keluarga Dreamliner apabila ia melancarkan perkhidmatan 787-9 bagi laluan domestik Jepun pada Ogos, kata Boeing dalam satu kenyataan di sini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif ANA Osamu Shinobe berkata : "787 Dreamliner merupakan elemen penting dalam strategi pertumbuhan kami, dan kami bangga menjadi syarikat penerbangan pertama menggunakan kedua-dua model 787.

"Pesawat 787-9 baharu ini dibangunkan dengan kecekapan tinggi yang membolehkan kami memenuhi permintaan yang semakin meningkat yang dijangkakan menjelang Sukan Olimpik Musim Panas Tokyo 2020.

"Pelanggan kami menyuarakan keselesaan mereka terhadap ciri-ciri kabin 787 yang inovatif dan kami teruja untuk memperkenalkan varian baharu 787 ini dalam kumpulan pesawat kami."

Menerusi penyerahan itu, ANA kini mempunyai 29 pesawat 787, lebih banyak daripada mana-mana syarikat lain di dunia.

John Wojick, Naib Presiden Kanan Jualan Global dan Pemasaran Boeing Commercial Airplanes pula berkata kejayaan penting itu menambah satu lagi bab dalam hubungan baik yang sudah lama terjalin dengan ANA.

ANA turut menempah 29 lagi pesawat 787-9s dengan komitmen untuk 14 pesawat tambahan.

Enam puluh pelanggan dari seluruh dunia menempah lebih 1,000 pesawat 787s, dengan lebih 160 kini sudah beroperasi.


Boeing, ANA

Artikel Sebelum

Artikel Lain