suria

UEM Jangka Permintaan Rumah Menurun Selepas GST

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, UEM Sunrise Bhd, menjangka permintaan untuk rumah berkurangan, terutama pada suku kedua, selepas pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) mulai 1 April tahun depan.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Izzaddin Idris berkata, ini berdasarkan trend di negara-negara yang melaksanakan GST berikutan terdapat penyusutan permintaan dalam tempoh suku pelaksanaannya.

"Kami percaya dalam persekitaran pasaran yang mencabar ini, kami bersedia untuk menangguhkan pelancaran jika perlu. Kami melihat semula beberapa pelan pembangunan kami untuk memenuhi trend dan permintaan pasaran semasa," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Secara keseluruhan, Izzaddin berkata, syarikat menjangkakan sedikit penurunan dalam margin dengan peningkatan tekanan kos tetapi akan terdapat tempoh peralihan berikutan pasaran akan lebih menumpukan kepada kos dan margin.

Bagi jangkaan terhadap GST, katanya UEM Sunrise bersedia terhadap kesan tersebut berikutan syarikat itu yakin kesan kewangan GST akan dapat dilihat dalam keputusan kewangan akan datang syarikat.

Izzaddin berkata, memandangkan hartanah kediaman dikecualikan daripada GST, peningkatan dalam cukai input tidak boleh dituntut oleh pemaju hartanah atau dipindahkan kepada pembeli rumah bagi projek kediaman yang telah dilancarkan dan dijual.

Beliau berkata, kebanyakan kontraktor atau pembekal yang mengemukakan tender untuk projek telah mengambil kira potensi kenaikan kos mengikut GST.

Izzaddin berkata, penting untuk meletakkan harga pelancaran baharu yang berdaya saing dan menawarkan produk yang sesuai terutamanya dalam pasaran yang perlahan untuk memastikan kadar pembelian yang baik.

Katanya, UEM Sunrise akan berusaha untuk menjadi lebih tangkas dan membangunkan kesedaran baharu supaya semua pekerja memahami kepentingan untuk memastikan kos rendah dan mencari kaedah untuk mencapai penjimatan di seluruh organisasi.

Disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia, UEM Sunrise merupakan syarikat utama bagi perniagaan pembangunan hartanah dan bandar UEM Group Bhd dan cabang pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd.

Kecekapan teras UEM Sunrise ialah dalam pembangunan bandar makro, kediaman bangunan tinggi, pembangunan runcit, komersil dan bersepadu, serta pengurusan hartanah dan projek dan perkhidmatan pembinaan. 


UEM, GST, rumah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain