suria

Mara Cadang Beli Tanah 239 GiatMara

KOTA BAHARU: Majlis Amanah Rakyat (Mara) merancang mengambil alih hak milik kesemua tanah dan premis yang menjadi tapak 239 pusat GiatMara di seluruh negara.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, rancangan itu yang dijangka mengambil masa lima tahun bertujuan memastikan premis GiatMara beroperasi di atas tanah milik sendiri atau kerajaan pusat.

"Sebahagian besar pusat GiatMara masih beroperasi di atas premis atau tanah yang masih belum menjadi milik Mara.

"Tindakan ini diambil selepas berlaku kontroversi dengan kerajaan Selangor apabila pusat GiatMara telah diperintah keluar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa dan Ihya Ramadan di sini, malam Jumaat.

Sebelum ini Pejabat Tanah dan Daerah Gombak dilapor telah menghantar surat kepada pengurus GiatMara Selayang pada 2 Disember tahun lepas yang menyatakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memutuskan memberi tempoh 12 bulan bermula 9 Disember 2013 hingga 10 Disember 2014 kepada pusat itu untuk berpindah tanpa sebarang ganti rugi dan pampasan.

Ini ekoran tanah seluas 11,396 kaki persegi (0.1058 hektar) yang diduduki pusat itu sejak 20 tahun lepas tidak mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, proses pengambilalihan hak milik itu akan dilakukan secara berperingkat bermula tahun ini."Untuk tanah atau premis milik Mara yang pada asalnya diperuntuk bagi pembinaan kolej, keutamaan akan diberi kepada penubuhan pusat GiatMara," katanya.

Annuar berkata, pihaknya juga telah meluluskan peruntukan RM8 juta bagi membina Pusat GiatMara Prima di kawasan Dewan Undangan Negeri Melor di sini.

"Pusat latihan ini akan dilengkapi dengan inkubator dan pusat perniagaan. Selain itu, kita dapati beberapa pusat GiatMara di Kelantan memerlukan penambahbaikan," katanya.


GiatMara, Tan Sri Annuar Musa

Artikel Lain