BSN Sasar RM240 Juta Transaksi Perbelanjaan Runcit Menjelang Akhir 2014 - Niaga | mStar

BSN Sasar RM240 Juta Transaksi Perbelanjaan Runcit Menjelang Akhir 2014

Diterbitkan: Selasa, 22 Julai 2014 2:57 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) Bhd menyasarkan pertumbuhan transaksi perbelanjaan runcit lebih 100 peratus kepada hampir RM240 juta berbanding RM100 juta pada tahun lalu.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, BSN mencatatkan peningkatan perbelanjaan runcit sebanyak 45 peratus.

Naib Presiden dan Ketua Bahagian Perniagaan Kad BSN, Mohd Sofian Amirudin berkata, sasaran itu dipacu peningkatan pemegang kad Visa Debit BSN sebanyak satu juta.

"Kami akan memperhebat promosi bagi menarik lebih ramai pemegang akaun deposit dan kami yakin dapat memenuhi sasaran tersebut," kata Mohd Sofian kepada wartawan selepas mengumumkan senarai pemenang bagi Kempen Guna Lebih dan Menang Lebih, Isnin.

Menurutnya, sejak kempen itu dilancarkan pada Disember tahun lalu, BSN berjaya menarik lebih 500,000 pemilik akaun deposit untuk memiliki kad debit tersebut.

"Secara keseluruhan BSN mempunyai hampir lima juta pemegang kad BSN dan jumlah ini akan terus meningkat berikutan saranan Bank Negara Malaysia yang menggalakkan rakyat untuk berbelanja mengikut kemampuan.

"Berbeza dengan kad kredit, kad debit adalah berdasarkan jumlah wang yang dimiliki pengguna," katanya lagi.

BSN mempunyai lebih 8.9 juta pemegang akaun di seluruh negara dengan simpanan runcit bernilai RM12.91 bilion

Tags / Kata Kunci: BSN , Mohd Sofian Amirudin
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan