MH17: Miti Pastikan Nilai Dagangan Negara Tidak Terganggu

Diterbitkan: Ahad, 20 Julai 2014 12:34 PM

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengambil beberapa langkah proaktif bagi memastikan tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 yang terhempas di Ukraine, Khamis lalu tidak menjejaskan nilai dagangan Malaysia dengan pihak luar.

Timbalan Menterinya Datuk Ir Hamim Samuri berkata ketika ini nilai dagangan negara mencatatkan jumlah melebihi RM100 bilion setiap bulan dan pihaknya percaya tragedi itu tidak akan menjejaskan nilai dagangan.

"Kita kehilangan pesawat MH370 dalam empat bulan dan sehingga ini apa yang kita lihat ialah nilai dagangan negara setiap bulan melebihi RM100 bilion seperti tahun lepas dan ia mencapai sasaran kementerian.

"Jadi bersandarkan keadaan itu saya percaya kejadian berkenaan (MH17 terhempas) tidak akan menjejaskan nilai dagangan, bagaimanapun kementerian akan terus memantau keadaan itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Aidilfitri anjuran Nasmir Holdings Sdn Bhd, di sini malam Sabtu.

Pada majlis itu sebanyak 1,000 penerima terdiri daripada keluarga miskin, orang kurang upaya (OKU), anak yatim dan ibu tunggal menerima sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan.

Hamim berkata nilai dagangan negara mencecah RM1.4 trilion pada tahun lepas dan pihaknya berharap jumlah yang sama dapat dicapai pada tahun ini.

"Berdasarkan nilai dagangan sehingga Jun lepas, jumlahnya sangat proaktif dan memang mencapai sasaran iaitu lebih RM100 bilion setiap bulan, jadi kita yakin dapat mencapai sasarannya tahun ini.

Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur sebelum terhempas di Ukraine, berhampiran sempadan Rusia, Khamis lepas.

Pesawat Boeing 777 itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Netherlands) Khamis dan dijadual tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) pada Jumaat.


Tags / Kata Kunci: Miti , MH17

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan