suria

Fama, TH Bantu Orang Miskin Jadi Usahawan Tani

Badruddin (kanan) percaya kerjasama dengan TH dapat melahirkan usahawan tani dalam kalangan golongan miskin. Gambar Hiasan.
KANGAR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan bekerjasama dengan Tabung Haji (TH) bagi membantu golongan miskin menjadi usahawan tani dan mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.

Pengerusi Fama, Tan Sri Badruddin Amiruldin yang juga Anggota Lembaga Pengarah TH berkata, zakat TH kepada golongan asnaf fakir miskin akan dijadikan modal dan Fama pula menyediakan tempat berniaga.

"Saya juga mencadangkan penerima zakat menabung RM100 dalam akaun TH daripada RM500 yang diterima hari ini," katanya kepada pemberita selepas penyampaian zakat di bawah projek ehsan TH kepada 80 asnaf miskin dan fakir dari seluruh Perlis, di sini, Khamis.

Katanya, penerima zakat yang berminat boleh mendaftar nama di pejabat Fama di seluruh negara.

"Mereka boleh menjadi petani dengan menanam sayur atau menternak ayam dan menjualnya di pasar tani Fama atau membekalkannya kepada hotel milik TH di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, secara tidak langsung juga penglibatan golongan ini dapat menampung bekalan kepada 1,000 pasar tani yang dirancang oleh Fama dengan 585 daripadanya sudah beroperasi.

Menyentuh pemberian zakat TH kepada asnaf di seluruh negara, Badruddin berkata, TH memperuntukan RM1.7 juta untuk tujuan itu merangkumi 3,424 asnaf miskin dan fakir.

Artikel Lain