suria

FGV Sasar Tingkat Pendapatan RM100 Bilion

KUALA LUMPUR: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menyasar meningkatkan pendapatannya kepada RM100 bilion dalam tempoh enam tahun untuk menjadi satu daripada sepuluh syarikat perniagaan tani utama di dunia.

Inisiatif transformasi FGV distrukturkan untuk meningkatkan pendapatan lapan kali ganda dalam masa enam tahun, kata Presiden dan CEO kumpulan itu Mohd Emir Mavani Abdullah dalam satu kenyataan.

Mohd Emir yang telah setahun berkhidmat bersama FGV, berkata sasaran pertumbuhan lapan kali ganda itu akan membantu mengubah kedudukan daya saing global FGV.

FGV telah distrukturkan semula menjadi enam kluster, iaitu huluan sawit, hiliran sawit, gula, getah, penyelidikan dan pembangunan dan pengangkutan, logistik, pemasaran dan lain-lain (TLMO).

Setiap kluster telah merangka inisiatif strategiknya sendiri bagi mencapai sasaran menjelang 2020.

"Dalam kumpulan, terdapat keyakinan tinggi bahawa perjalanan transformasi ini akan membawa kepada kejayaan dan kami yakin dapat mencapai matlamat kami," kata Mohd Emir.

Beliau berkata kluster huluan sawit menyasar mengekalkan kedudukan penerajuan globalnya dalam perladangan dengan menjadi pengeluar MSM terbesar dan memiliki simpanan tanah terbesar.

Kluster hiliran menyasar memperoleh margin tinggi dan produk pertumbuhan tinggi dalam segmen ramuan khusus untuk menjadi satu daripada tiga peserta utama dunia dalam bahagian lelemak perindustrian dan mendapatkan status serantau utama dalam barangan pengguna berasaskan sawit.

Kluster itu juga berusaha menguasai pasaran biodiesel dan tenaga boleh diperbaharui di peringkat global.

Menerusi MSM Holdings, FGV telahpun menjadi pengeluar gula terbesar dunia.

Bagaimanapun, dalam usaha untuk terus mengukuhkan kedudukannya, kluster gula telah menetapkan keutamaan strategik untuk meningkatkan pengeluaran gula mentah bagi melengkapkan perniagaan hilirannya.

Kluster itu menyasar menjadi antara syarikat global utama dalam perniagaan gula ditapis dengan kuantiti pengeluaran empat juta tan metrik menjelang 2020.

Kluster getah yang baru dibentuk ketika ini menumpukan kepada perniagaan pemprosesan getah dan dijangka menjadi peserta getah bersepadu utama dan menguasai jualan ketiga tertinggi dunia dalam getah diproses.

Ini akan dipacu oleh pertumbuhan segmen pertengahan, pengembangan huluan, penerokaan hiliran dan aktiviti dagangan, memberikan kluster kawalan lengkap rantaian nilai, kata Mohd Emir.

Sementara itu, kluster R&D menyasar menjadi institusi penyelidikan sawit swasta utama di dunia dan menerajui institusi penyelidikan dalam getah dan gula.

Ia akan menyediakan produk asas tani berkualiti tinggi dan perkhidmatan bagi pelanggan dalam dan luar negara.

Penggunaan daripada hasil penyelidikan, seperti anak benih klon oleh sektor hiliran penting bagi menyokong pertumbuhan dalaman semua kluster FGV, kata Mohd Emir said.

Kluster TLMO berusaha untuk menjadi peneraju global dalam dagangan, logistik dan simpanan menjelang 2020. Logistik akan melengkapkan dagangan minyak sawit dan kluster ini diwujudkan sebagai pengupaya strategik bagi perniagaan teras lain. 


Felda, FGV

Artikel Lain