suria

Sarawak Catat Eksport RM50.477 Juta Bagi Tempoh Januari - Mei 2014

KUCHING: Nilai perdagangan eksport Sarawak mencecah RM50.477 juta dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini, manakala nilai import bagi tempoh yang sama sebanyak RM17.345 juta.


Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Sarawak, Leany Mokhtar berkata, pasaran utama eksport Sarawak ialah Jepun, Korea Selatan, Taiwan, China dan juga negara Asean yang menyumbang kira-kira 70 peratus daripada nilai perdagangan.

"Eksport utama dari Sarawak ialah produk gas asli, petroleum, minyak kelapa sawit, lada hitam, kayu balak serta produk berasaskan kayu," katanya kepada pemberita pada majlis Sesi Pertemuan dan Perangkaian Media Matrade, di sini, malam Jumaat.

Leany berkata, melihat kepada nilai eksport yang dicatatkan itu jelas menunjukkan bahawa pasaran luar negara penting kepada negara ini.

"Usahawan dan pengeksport Sarawak khususnya digesa untuk meningkatkan keupayaan mengeksport supaya Malaysia wujud sebagai negara perdagangan yang unggul.

"Kami berharap program anjuran Matrade dapat membantu usahawan dan pengeksport Sarawak meningkatkan pengetahuan serta mendapatkan maklumat bagi persediaan untuk meneroka pasaran yang lebih kompetitif," katanya.

Beliau berkata, tahun ini Matrade telah merancang sebanyak 148 program promosi perdagangan di luar dan dalam negara dan pihaknya ingin melihat lebih banyak syarikat dari Sarawak terlibat secara aktif dalam aktiviti promosi yang dianjurkan.

"Usahawan di Sarawak perlu merebut peluang kemudahan ditawarkan Matrade dalam mengembangkan perniagaan, merealisasikan eksport barangan dan perkhidmatan ke luar negara, dan mendapatkan maklumat pasaran luar negara secara tepat," katanya.

Leany berkata, secara keseluruhannya usahawan di Sarawak masih belum memanfaatkan sepenuhnya pelbagai insentif yang disediakan oleh Matrade bagi membangunkan pasaran eksport mereka.


Matrade Sarawak, eksport

Artikel Lain