suria

Syarikat Digesa Patuh GST Secepat Mungkin

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia menggesa syarikat dan perniagaan mendaftar dan menjadi patuh Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) secepat mungkin.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Sri Khazali Ahmad, berkata perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), harus mendaftar awal untuk mengambil kesempatan daripada program Subsidi E-Baucar.

Syarikat dan perniagaan yang mendaftar awal akan diberikan subsidi E-Baucar bernilai RM1,000 untuk membeli perisian perakaunan patuh GST daripada pembekal yang telah disahkan oleh Jabatan Kastam.

"Daftar sekarang, sementara masih lengang ini. Jangan tunggu sampai semua orang datang (berpusu-pusu) mendaftar.

"Pada masa itu nanti, anda mungkin menghadapi masalah mendapatkan tindak balas daripada Jabatan Kastam," tegas beliau dalam ucapan penutupannya pada Persidangan GST Kebangsaan 2014 di sini, Jumaat.

Persidangan dua hari itu yang berakhir hari ini dianjurkan bersama oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Tax Advisory And Management Services Sdn Bhd.

Perniagaan yang menawarkan barang dan perkhidmatan perlu mendaftar bagi GST jika perolehan jualan tahunannya melebihi RM500,000 yang ditetapkan.

Pendaftaran secara sukarela dibenarkan tetapi mestilah kekal berdaftar selama sekurang-kurangnya dua tahun. 


GST, Kastam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain