suria

Teraju Salur RM20 Juta Bantu Syarikat Bumiputera Sarawak

KUCHING: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), melalui unit koridornya, Teraju Sarawak, menyalurkan peruntukan hampir RM20 juta daripada Tabung Kemudahan kepada empat syarikat Bumiputera berprestasi tinggi di bawah program Teras.

Dalam kenyataan kepada media pada Khamis, Teraju berkata bayaran itu adalah sebahagian daripada dana RM100 juta yang diperuntukkannya melalui Tabung Kemudahan bagi menjayakan inisiatif di Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif Teraju Husni Salleh menyerahkan cek berkenaan kepada Amalgamated Plant Engineering Sdn Bhd (RM1,035,388), Bunga Tenaga Sdn Bhd (RM6,600,000), Petra Resources Sdn Bhd (RM6,450,000) dan Serba Dinamik Sdn Bhd (RM4,428,000) pada satu majlis di pejabat Ketua Menteri, Wisma Bapa Malaysia di sini.

Upacara penyerahan cek itu disaksikan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Empat syarikat itu, yang wujud sejak lebih 10 tahun lepas, kini menyediakan perkhidmatan dalam pelbagai bidang termasuk kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan awam, struktur, membaiki dan menyenggara kapal, operasi pelabuhan, perkhidmatan dan agensi perkapalan, penyenggaraan bersepadu dan pengedaran peralatan.

Pemberian dana itu akan digunakan syarikat terbabit untuk meningkatkan operasi masing-masing, termasuk membiayai kerja pembinaan dan pengubahsuaian bangunan serta membeli jentera dan kelengkapan.

Teraju

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain