suria

Pembentukan Bank Mega Gabungan RHB, CIMB, MBSB

PETALING JAYA: Ketika pasaran sedang melalui tempoh dagangan lesu berikutan temasya sukan Piala Dunia dan berlakunya sentimen berjaga-jaga, perdagangan dalam tiga institusi kewangan digantung pada Khamis, bagi membuka jalan untuk pembentukan bank terbesar di Malaysia.

Dagangan RHB Capital Bhd, Malaysia Building Society Bhd (MBSB) dan CIMB Group Holdings Bhd digantung pada Khamis, kata ketiga-ketiga intitusi berkenaan kepada Bursa Malaysia secara berasingan pada Rabu.

Difahamkan tiga bank terbabit akan menulis kepada Bank Negara untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan langkah korporat yang akan mewujudkan satu bank mega, yang akan mempunyai permodalan pasaran lebih RM90 bilion, dengan menjangkakan perjanjian itu diputuskan pada kira-kira 1.7 sehingga 1.7 kali nilai buku.

“Perjanjian itu mungkin akan dilakukan pada 1.75 kali nilai buku berdasarkan penilaian semasa CIMB dengan hampir 1.70 nilai buku. Ia tidak mungkin dilaksanakan sekiranya kurang daripada itu,” kata satu sumber.

Pada 1.75 kali nilai buku, RHB Cap akan mempunyai permodalan pasaran kira-kira RM30 bilion, manakala jumlah permodalan MBSB adalah kira-kira RM6.8 bilion.

“Bersama-sama dengan permodalan pasaran CIMB, entiti gabungan itu akan mengambil nilai pasaran lebih RM90 bilion,” kata sumber itu.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memainkan peranan penting dalam penggabungan ini kerana mempunyai saham terbesar di dalam ketiga-tiga entiti.

Ia merupakan pemegang saham utama dalam RHB Cap dengan pegangan 40.76 peratus. Pemegang saham utama lain dalam RHB Cap adalah Aabar Investments PJSC dengan pegangan 21.43 peratus dan OSK Holdings Bhd dengan pegangan 9.91 peratus.

KWSP mempunyai kepentingan 64.73 peratus dalam MBSB dan 14.46 peratus di CIMB.

Penggabungan itu akan menyaksikan KWSP muncul sebagai pemegang saham terbesar dalam bank mega itu, dengan pegangan dianggarkan lebih 25 peratus.

Selepas saham ditutup pada Rabu, RHB Cap dan CIMB ditutup empat sen lebih rendah, masing-masing pada RM8.72 dan RM7.24, manakala MBSB berakhir 12 sen lebih tinggi pada RM2.34.

Beberapa sumber berkata, penggabungan yang akan berlaku akan dirahsiakan, dengan hanya beberapa individu yang akan dimaklumkan mengenainya.

"Hanya beberapa orang diberikan petunjuk mengenai keseluruhan perjanjian itu. Berita penggabungan antara RHB Cap dan MBSB sudahpun dikeluarkan di pasaran pada waktu petang, tetapi kemasukan CIMB itu mengejutkan banyak pihak,” kata satu sumber.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain