suria

Sasbadi Rancang Pelan Pengembangan Bernilai RM18.5 Juta

Para anggota pengarah Sasbadi Holdings Berhad bersama wakil bank pelaburan mereka ketika memperkenalkan prospektus penyenaraian syarikat itu kepada media 7 Julai baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Gergasi penerbitan buku pembelajaran dan rujukan pelajar, Sasbadi Holdings Berhad yang akan disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia pada 23 Julai ini merancang untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan membeli sebuah firma penerbitan bernilai RM11.5 juta dan RM7 juta lagi untuk membeli bangunan pejabat dan gudang baru.

Berdasarkan nilai penyenaraian bernilai RM1.19 sesaham, syarikat itu menjangkakan yang mereka akan mampu memperolehi RM25.23 juta hasil daripada penawaran 21.2 juta saham baru dan RM42.78 juta hasil daripada penawaran dan penjualan 35.95 juta saham sedia ada.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan prospektus penyenaraian syarikat itu di sini, Pengarah Urusannya, Law King Hui berkata, selain daripada meneruskan perniagaan berasaskan pendidikan yang selama ini menjadi teras kepada Sasbadi mereka juga secara khusus kini merancang untuk memberikan perhatian kepada bahan-bahan pembelajaran untuk sektor bahasa Mandarin dan Bahasa Malaysia yang sedang berkembang.

Law tidak secara khusus menamakan firma penerbitan yang akan menjadi sasaran pembelian Sasbadi hasil daripada penyenaraian ini tetapi terdapat lebih daripada 200 syarikat penerbitan yang berpotensi di seluruh negara buat masa sekarang.

Dan bercakap tentang dunia penerbitan dan percetakan, Law berkata, perjalanan untuk membolehkan setiap seorang daripada pelajar mempunyai akses kepada peranti masih lagi jauh dan oleh yang demikian, dunia percetakan masih memainkan peranan utama yang membolehkan pelajar mengakses kepada bahan pendidikan buat masa ini.

Menurut kajian pasaran, Sasbadi menguasai 6 peratus nilai pasaran bahan bercetak dan 9 peratus nilai pasaran bahan bercetak pendidikan berdasarkan prestasi tahun 2013.

Jidar keuntungan (profit margin) bagi tempoh enam bulan yang berakhir 28 Februari 2013 ialah sekitar 21.7 peratus manakala unjuran untuk enam bulan pertama tahun ini adalah pada paras 18.3 peratus.

Law menjelaskan bangunan baru yang akan mereka beli selepas penyenaraian nanti adalah bagi menampung kapasiti yang telah maksimum di bangunan sedia ada di Kota Damansara.

Bangunan dan pejabat baru Sasbadi nanti akan tetap berpusat di Lembah Klang dengan keluasan 10,000 kaki persegi, kata Law lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain