suria

AirAsia Yakin Prospek Syarikat Sekutu Rangsang Pertumbuhan

KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd yakin terhadap prospeknya bagi separuh kedua tahun ini dengan memanfaatkan pertumbuhan syarikat sekutunya, serta laluan baharu dalam perancangan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Aireen Omar.


"Kami bekerjasama dengan syarikat sekutu kami untuk berkembang di destinasi lain. Ia akan mendekati pasaran yang tidak dapat kami capai.

"Syarikat sekutu ini kemudiannya akan membawa kuantiti ini ke Kuala Lumpur. Kami melihat banyak peluang di sini," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa AirAsia semalam.

Prospek cerah itu juga disumbangkan oleh operasi baharu AirAsia di terminal penerbangan tambang rendah, klia2, yang menyediakan kapasiti tambahan kepada syarikat penerbangan itu.

Aireen berkata, beberapa laluan yang sedang dirancang akan dilancarkan pada akhir tahun ini, yang mungkin dapat meningkatkan lagi sambungan penerbangan.

Beliau berkata, dasar Langit Terbuka Asean 2015 turut meningkatkan keyakinan beliau terhadap industri penerbangan memandangkan ciri-ciri perjanjian itu yang meliberalisasikan pengangkutan udara di rantau ini.

Negara-negara anggota Asean mengenal pasti 2015 sebagai tarikh akhir untuk mewujudkan dasar, pada masa cadangan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) berkuat kuasa.

"AirAsia yakin terhadap perjanjian langit terbuka Asean kerana terdapat banyak peluang yang boleh kita manfaatkan.

"Bagaimanapun, kami berharap pihak berkuasa lapangan terbang di pelbagai negara akan menggalakkan pertumbuhan, dari aspek menyediakan infrastruktur dan kerjasama yang sesuai, supaya syarikat penerbangan boleh membawa jumlah trafik yang perlu," katanya.

AirAsia, Aireen Omar

Artikel Lain