suria

Simpanan TH RM50 Bilion Daripada 8.4 Juta Pendeposit

KUALA TERENGGANU: Lembaga Tabung Haji (TH) mempunyai kira-kira RM50 bilion jumlah simpanan daripada keseluruhan 8.4 juta pendepositnya di seluruh negara.

Ahli Lembaga Pengarah TH Ghazali Awang berkata simpanan yang diterima TH setiap tahun daripada pendeposit baharu ialah kira-kira RM5 juta di 120 cawangannya.

TH menerima banyak penyimpan baharu setiap kali selepas pengumuman dividen setiap tahun, katanya kepada pemberita selepas majlis sumbangan Zakat Program Ehsan TH bagi kawasan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di Seberang Takir dekat sini, Isnin.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengurus TH negeri Terengganu, Mohammad Mokhzani Mukhtar.

Mengenai Program Ehsan TH, Ghazali berkata TH menyasarkan agihan zakat berjumlah RM1.7 juta kepada sebanyak 3,424 asnaf miskin dan fakir di seluruh negara pada tahun ini.

Katanya bagi negeri Terengganu, sebanyak 320 orang terdiri daripada golongan miskin menerima sumbangan masing-masing RM500 melibatkan jumlah keseluruhan RM160,000.

Ghazali berkata program berkenaan merupakan tanggungjawab sosial tahunan TH yang diadakan pada bulan Ramadan bertujuan meringankan beban kewangan golongan itu.

"Walaupun sumbangan kita tidak begitu besar, namun diharap ia mampu meringan sedikit beban golongan itu yang sangat memerlukan," katanya.

Sementara itu Mohammad Mokhzani berkata kira-kira 1,000 bakal haji dari Terengganu dan sebahagian dari Kelantan akan berkumpul di Hotel Tabung Haji dan Pusat Konvensyen di sini sebelum berlepas menunaikan fardu haji bermula 8 Sept dengan lima penerbangan terus ke tanah suci dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini.

Justeru itu TH telah membuat persiapan untuk bakal-bakal haji berkenaan dan persiapan terakhir ialah Kursus Haji Perdana yang akan diadakan pada 8 dan 9 Ogos bertempat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak di sini.


Tabung Haji

Artikel Lain