Felda Keluarkan Graphene Akhir Tahun - Niaga | mStar

Felda Keluarkan Graphene Akhir Tahun

Diterbitkan: Sabtu, 5 Julai 2014 1:48 PM

(Ubah saiz teks)

JEMPOL: Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) akan memulakan pengeluaran 'graphene' apabila kilangnya yang dalam pembinaan di Cambridge, London siap Oktober depan.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, berkata pengeluaran produk nano karbon 'graphene' ini dijangka bermula hujung tahun ini atau awal tahun depan.

"Kita telah wujudkan syarikat di mana FGV memiliki 70 peratus sahamnya. Kita juga telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan beberapa syarikat untuk penjualan bahan ini. Ia melibatkan pelaburan sebanyak 20 juta pound," katanya kepada pemberita di sini, malam Jumaat.

Beliau ditemui selepas majlis berbuka puasa anjuran Yayasan Felda dan Parlimen Jempol di Masjid Tuanku Muhriz, Bandar Seri Jempol.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud berangkat ke majlis itu.

Mohd Isa mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala semalam bahawa kerajaan menyasarkan untuk menjana pendapatan sebanyak RM9 bilion dan mewujudkan 9,000 peluang pekerjaan hasil daripada penggunaan produk nano karbon 'graphene' menjelang 2020.

Mohd Isa yang juga anggota Parlimen Jempol berkata, Felda melibatkan diri dalam pengeluaran produk nano karbon 'graphene' ini kerana pulangannya sangat baik memandangkan harganya tinggi.

Graphene dikenal pasti sebagai bahan yang dapat menawarkan prestasi terbaik dalam pelbagai aspek kerana ia merupakan sebatian terkuat, paling nipis dan kristal anjal serta dapat membawa arus elektrik lebih baik daripada bahan sedia ada.


Tags / Kata Kunci: Felda
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan