suria

Rex Industry Unjur Hasil Meningkat 15 Peratus

BUTTERWORTH: Rex Industry Bhd, pengeluar dan pengeksport makanan dalam tin, menyasarkan hasilnya meningkat 15 peratus tahun ini, disokong oleh peluasan bahagian minumannya.

Pengarah Kumpulan Lee Hee Hong berkata syarikat itu akan memberi tumpuan ke atas bahagian minuman bagi menyokong kadar pertumbuhan serta meningkatkan jualan.

Beliau berkata kumpulan itu memperuntukkan RM2.5 juta sebagai perbelanjaan modal pada 2014 dan untuk tujuan peluasan.

"Penambahan ruang kilang dan lima barisan pengeluaran baharu sudah dirancang dan kini persiapan dibuat untuk tujuan itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, Isnin.

Beliau berkata sumbangan daripada pasaran luar negara kumpulan itu menerusi PT Rex Indonesia dan Rex Food China, akan meningkatkan hasil keseluruhannya.

Jualan kumpulan itu mencatat pertumbuhan positif, dengan peningkatan 13 peratus kepada RM157 juta pada 2013 berbanding kira-kira RM139 juta pada tahun lepas.

Lee berkata pada masa ini, bahagian minuman menyumbang kira-kira 35 peratus daripada hasil kumpulan berkenaan.

"Menerusi barisan pengeluaran baharu untuk mengeluarkan 1.5 liter minuman Tetra Pak, kapasiti pengeluaran akan meningkat sebanyak 35 peratus," katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa perbelanjaan modal bagi 2014 akan disediakan untuk gudang tambahan di kawasan seluas 0.7 hektar di Bukit Minyak dekat sini, dengan kerja pembinaan dijangka bermula dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

"Kami menjangkakan gudang baharu untuk menyimpan makanan sejuk beku siap pada suku pertama 2015," katanya.

Beliau juga mengunjurkan prospek industri makanan lebih baik, selari peningkatan jumlah penduduk dunia.


Rex Indutry

Artikel Sebelum

Artikel Lain