suria

SME Bank Rancang Sedia Pembiayaan RM3 Bilion

KUALA LUMPUR: SME Bank menyasarkan untuk menawarkan pembiayaan RM3 bilion kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tahun ini bagi memupuk pembangunan mereka, kata Pengarah Urusan Kumpulan itu, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus.

Mohd Radzif berkata, setakat Mei lalu, bank itu telah mengeluarkan pinjaman RM1.2 bilion kepada PKS untuk membantu pertumbuhan perniagaan mereka.

"Kami menyediakan pembiayaan bernilai RM2.73 bilion kepada 1,737 PKS pada tahun lalu," katanya ketika mengumumkan keputusan kewangan bank itu untuk 2013 di sini, Jumaat.

Bank berkenaan mencatat keuntungan sebelum cukai RM93.97 juta pada tahun lalu, hampir 1.5 kali lebih daripada sasaran.

Ia mencatatkan keuntungan operasi RM99.47 juta, iaitu lebih dua kali ganda daripada jumlah sasaran, katanya.

Mohd Radzif berkata, pendapatan kasar bank itu daripada perniagaan perbankan Islam meningkat 22 peratus kepada RM209.3 juta berbanding pada 2012, mencerminkan pertumbuhan pesat dalam aset perbankan Islam.

"Ia sejajar dengan sasaran kami untuk menjadi institusi kewangan pembangunan berasaskan Syariah yang lengkap menjelang 2015," katanya.

Menurutnya, kompleks kilang bank itu di bawah Program Premis Usahawan menikmati 91.8 peratus kadar diduduki daripada 439 unit ditawarkan dengan 10 peserta menamatkan program itu tahun lalu.

Sejumlah 43 syarikat didaftar di bawah program IQ Dagang telah menterjemahkan idea mereka kepada perniagaan yang menguntungkan, kata Mohd Radzif.

"Program itu digunakan oleh SME Bank untuk mendapatkan mereka yang mempunyai idea inovatif untuk berkongsi dan meneroka kemungkinan mengkomersilkannya jika ia berdaya maju," katanya.

Bank itu juga mengembangkan jangkauan pasarannya melalui pembukaan dua pusat usahawan baharu di Batu Pahat dan Kajang.

Mohd Razif berkata, bank itu telah mewujudkan satu pusat perniagaan di Rawang, Selangor, di samping tiga lagi cawangan di Pusat Transformasi Bandar di Alor Setar, Ipoh dan Kuantan.



SME Bank

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain