suria

ABM Fujiya Teroka Peluang Baharu

KUCHING: Pembuat bateri ABM Fujiya Bhd akan terus meneroka peluang baharu dalam bidang pertumbuhan strategik untuk meningkatkan keuntungan dan kemampanan perniagaan.

Pengerusinya Datuk Tay Chin Kin berkata syarikat itu akan menceburi pasaran baharu melalui penyertaan aktif dalam misi perdagangan dan pameran, dan pada masa yang sama berusaha membaiki produk dan perkhidmatannya.

Berucap pada mesyuarat agung tahunan ke-20 di sini pada Jumaat, Tay berkata 2013 merupakan tahun yang mencabar untuk syarikat itu, namun mencatat kejayaan apabila kumpulan itu berjaya disenarai di Bursa Malaysia.

Beliau berkata penurunan harga plumbum pada suku kedua tahun itu menyebabkan pasaran mengambil sikap berhati-hati dalam perbelanjaannya yang menyebabkan kemerosotan hasil.

Beliau melaporkan keuntungan sebelum cukai kumpulan itu sebanyak RM8.35 juta untuk tahun kewangan berakhir 2013, susut berbanding RM8.51 juta yang dicatat pada tahun kewangan sebelumnya.

Kumpulan itu mencatat hasil bersih digabungkan sebanyak RM6.95 juta, peningkatan 3.6 peratus berbanding RM6.71 juta pada 2012, manakala pendapatan sesaham kumpulan sebanyak 4.15 sen.

ABM Fujiya kini merupakan satu-satunya pembuat bateri di Sarawak dan 50 peratus daripada hasil pengeluarannya dipasarkan di seluruh dunia termasuk ke India, Chile, Sabah dan Semenanjung.

Syarikat itu sedang meninjau pasaran di Brazil dan Vietnam serta menambah eksportnya ke India, sebuah negara dengan potensi yang besar.

ABM membuat rangkaian bateri automotif, termasuk jenis konvensional berasid plumbum, bateri bebas dan rendah penyelenggaraan untuk kereta dan kenderaan komersil.

Ini adalah tambahan daripada produk bateri untuk peralatan elektrik dalam kapal, kereta golf, lif industri ringan dan gerabak, kenderaan komersil dan riadah di samping bateri aplikasi marin.

Syarikat itu diperbadankan pada 2003 dan berpangkalan di Kuching.


ABM Fujiya

Artikel Lain