suria

Saham 7-Eleven Meningkat

KUALA LUMPUR:  Saham 7-Elelven Malaysia Holdings Bhd di Bursa Malaysia meningkat dalam dagangan awal pagi ini susulan unjuran pertumbuhannnya yang positif.

Pada 10.27 pagi, saham itu naik dua sen kepada RM1.78, dengan 505,300 saham bertukar tangan.

RHB Research berkata 7-Eleven, rangkaian kedai serbaneka terbesar Malaysia, menerusi lebih 1,500 kedai di seluruh negara, telah merancang strategi pertumbuhannya dengan baik.

"Berdasarkan unjuran positif ke atas industri itu, 7-Eleven dijangkakan mencatat pertumbuhan dua angka dalam tempoh beberapa tahun akan datang," katanya dalam nota kajiannya pada Khamis.

RHB Research berkata masih ada banyak peluang dalam industri kedai serbaneka untuk berkembang di Malaysia, memandangkan ia merupakan pasaran yang kurang ditembusi di rantau ini.

Faktor ini serta kedudukan ekonomi yang semakin kukuh, dan bilangan penududuk muda yang semakin meningkat, dijangkakan melengkapkan pelan peluasan 7-Eleven, katanya.

7-Eleven kini menguasai 82 peratus pasaran segmen kedai serbaneka secara berdiri sendiri.

Firma penyelidikan itu berkata syarikat itu merancang meningkatkan hasil menerusi peluasan agresif serta menaik taraf kedai sedia ada, dan pada masa yang sama mengekalkan kos dengan melabur dalam pusat pengedaran bersama (CDC) baharu serta sistem teknologi maklumat.

Ia berkata 7-Eleven dijangkakan menguasai hubungan kukuh dengan Kumpulan Berjaya, milik usahawan terkemuka negara Tan Sri Vincent Tan, untuk memperoleh akses kepada lokasi strategik bagi membuka kedai-kedai baharu.

RHB Research, bagaimanapun tidak memberikan penarafan ke atas 7-Eleven tetapi menetapkan nilai saksama pada RM1.30.


Saham

Artikel Lain