suria

Syarikat Malaysia Dapat Jualan RM127,000 Di Belanda

KUALA LUMPUR: Syarikat Malaysia memperoleh jualan produk pertanian bernilai RM127,000 pada Pameran Kepenggunaan Tong-Tong 2014 di The Hague, Belanda bulan lepas, kata Kaunselor Pertanian Pejabat Perwakilan Pertanian Malaysia, Ahmadul Mokhtar Mohd Hayani.

Beliau berkata angka itu adalah berdasarkan hasil jualan dan kontrak perniagaan yang dijana empat syarikat serta dua agensi kerajaan yang menyertai pameran edisi ke-56 yang mempromosi produk pertanian Malaysia ke pasaran global pada 29 Mei hingga 9 Jun.

Katanya Malaysia memperoleh jualan sekitar RM90,000 tahun lepas dan penambahan positif ini menunjukkan produk makanan Malaysia diterima secara meluas di negara Eropah berikutan jaminan terhadap standard dan mutunya.

"Pada pameran ini, Malaysia mempromosi kira-kira 40 produk makanan, termasuk produk sayuran, roti paratha, rempah sup, soya segera, keropok, keratan orkid serta 10 jenis buah-buahan tempatan seperti durian sejuk beku, nangka, belimbing, buah naga dan manggis.

Penyertaan Malaysia memperkukuh imej produk makanan istimewa dan beraneka kepada pasaran Belanda," katanya pada Khamis.

Menurut Ahmadul Mokthar, pameran kali ini turut berjaya meyakinkan sebuah pasar raya Asia, Wah Nam Hong, untuk mempromosi dan menjual durian sejuk beku dan nangka untuk pasaran Belanda dan antarabangsa.

Katanya Malaysia menjangkakan jumlah nilai eksport bagi produk pertanian terutama buah-buahan dan makanan, meningkat tahun ini berikutan Belanda merupakan laluan utama bagi kemasukan produk pertanian negara ke lebih 45 negara di Eropah.

Untuk itu beliau berkata Pejabat Perwakilan Pertanian Malaysia di The Hague turut mengadakan pelbagai program promosi produk makanan dan pertanian Malaysia.

Ahmadul Mokhtar berkata pameran 12 hari itu juga menyaksikan penampilan chef anak tempatan Malaysia yang diterbangkan khas dari United Kingdom untuk mengadakan demonstrasi masakan.

Pameran kepenggunaan yang diiktiraf terbesar di Belanda itu mengetengahkan lebih 150 pempamer dari 20 negara termasuk Indonesia, Thailand dan Vietnam.


Malaysia, Belanda

Artikel Sebelum

Industri Disaran Guna SKPK

Artikel Lain