suria

Tune Hotel Labur US$25 Juta Untuk Hotel Di Kenya

SEPANG: Kumpulan Tune Hotels merancang untuk melabur kira-kira US$25 juta untuk hotel baharunya di Kenya, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Lankester.

"Ini adalah pasaran baharu kami dan butir terperinci mengenai perniagaan baharu itu akan diumumkan dua minggu lagi," katanya kepada media selepas pelancaran Tune Hotel oleh Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Mahdzir Khalid di klia2 di sini, Rabu.

Menurutnya, untuk pasaran tempatan, pengendali hotel bajet itu juga merancang membuka beberapa hotel lagi di Melaka, Kedah, Cyberjaya dan Langkawi menjelang akhir tahun ini.

"Tune Hotel klia2 yang mempunyai 400 bilik ini dibuka pada 9 Mei lalu dan mencatatkan kadar penginapan 90 hingga 95 peratus dan ini sangat menggalakan buat kami," katanya.

Hotel itu mendapat pengiktirafan berganda berikutan ciri-ciri teknologi hijau serta cekap tenaga.

Ia dianugerahkan penarafan emas sementara oleh Panel Akreditasi Indeks Bangunan Hijau dan seterusnya dikemukakan sebagai projek demonstrasi pertama di bawah Projek Kecekapan Tenaga Sektor Bangunan (BSSEP).

BSSEP adalah projek nasional yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya Malaysia dengan kerjasama Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu dan diasasskan secara bersama oleh Kemudahan Persekitaran Global.

Matlamatnya ialah untuk mencapai pengurangan dalam kadar pertumbuhan pelepasan tahunan daripada bangunan di Malaysia dengan mempromosi reka bentuk bangunan baharu yang jimat tenaga.


Tune Hotel

Artikel Lain