suria

Mara Peruntuk RM10 Juta Bagi Perkhidmatan Bas

KOTA BAHARU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan RM8 juta hingga RM10 juta setahun sebagai perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan bas di seluruh negara.

Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa berkata setakat ini sebanyak 400 bas dikendalikan Mara Liner Sdn Bhd yang beroperasi mengikut kebenaran Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

"Mara mengeluarkan perbelanjaan tersebut bagi menampung keperluan rakyat terhadap perkhidmatan pengangkutan awam.

"Keuntungan yang diperoleh oleh Mara Express seharusnya mampu untuk kita menampung perbelanjaan bas henti-henti tetapi kita perlu adakan tambahan perbelanjaan bagi memastikan kepentingan rakyat terpelihara," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran perkhidmatan bas ekspres dan henti-henti Mara Liner di Arked Mara Kok Lanas di sini, Rabu.

Annuar berkata perkhidmatan bas ekspres dan henti-henti yang dilancarkan pada hari ini, dijangka memberi kemudahan bukan sahaja kepada penduduk setempat malah pelancong yang berkunjung ke Kelantan.

"Bagi perkhidmatan bas ekspres kita adakan tambahan laluan dari Pangkalan Kubor, Tumpat ke Melaka.

"Manakala bagi perkhidmatan bas henti-henti ia melibatkan laluan dua hala daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang ke Kota Baharu, dan laluan daripada Kok Lanas ke Nilam Puri di sini," katanya.

Beliau berkata perkhidmatan tersebut merupakan laluan ke-28 untuk bas ekspres manakala laluan ke-91 untuk perkhidmatan henti-henti.

Sebanyak RM200,000 diperuntukkan untuk membina 20 pondok hentian bas bagi memastikan keselesaan dan keselamatan rakyat di kawasan Ketereh, katanya. 


Mara

Artikel Lain