suria

IDB Lulus AS$447 Juta Biaya Projek Pembangunan Baharu

Ibu pejabat IDB di Washington, Amerika Syarikat.
JEDDAH: Bank Pembangunan Islam (IDB) meluluskan AS$447.6 juta bagi membiayai beberapa projek pembangunan di negara anggota, selain tiga geran di bawah dana wakaf IDB untuk projek pendidikan bagi masyarakat Islam di Kenya, Lesotho serta Trinidad dan Tobago.


Sebahagian besar daripada pembiayaan, iaitu AS$304 juta adalah untuk sektor tenaga, kata bank berkenaan dalam kenyataan selepas mesyuarat Lembaga Pengarah Eksekutifnya di sini, Isnin.

"Sebanyak AS$220 juta adalah untuk projek penyambungan grid tenaga di Bangladesh dan AS$83.75 juta untuk projek talian penghantaran dan pengagihan 132 KV Mirama-Kable di Uganda.

"Kelulusan lain lembaga itu termasuk AS$87.5 juta untuk menambah baik pengurusan air buangan dan perkhidmatan kebersihan di lembangan saliran Al Ghadir, Lebanon," katanya.

Bank itu memberi tambahan AS$25 juta untuk fasa kedua projek pembesaran Lapangan Terbang Ratu Alia di Jordan, menjadikan pembiayaannya kepada lapangan terbang itu meningkat kepada AS$125 juta.

IDB berkata, AS$15 juta diperuntukkan kepada projek peningkatan perkhidmatan penjagaan kesihatan asas di Chad dan AS$15 juta untuk bantuan kepada projek pembangunan sekolah teknikal dan vokasional di Guinea.

Lembaga itu turut meluluskan sumbangan berterusan IDB kepada Pusat Antarabangsa Untuk Pertanian Biosaline (ICBA) di Dubai, UAE, kerana pusat itu melambangkan kejayaan kerjasama di antara bank itu dan UAE.

IDB berkata, ICBA telah berkembang sebagai pusat penyelidikan bertaraf dunia dengan pasukan saintis dan penyelidik antarabangsa bagi menghasilkan penyelesaian inovatif untuk meningkatkan status petani miskin dan melaksanakan pelbagai program pembangunan bertujuan meningkatkan produktiviti di kawasan pertanian.

Geran bantuan teknikal berjumlah AS$450,000 juga diberikan di bawah dana wakaf IDB bagi membangunkan kapasiti juruteknik makmal mikrobiologi di tujuh negara Afrika Barat, iaitu Burkina Faso, Benin, Guinea, Malli, Niger, Senegal dan Togo.

Dengan langkah meningkatkan kapasiti itu ia dijangka dapat membantu memerangi penyakit seperti TB, AIDS dan malaria serta menyokong pelbagai program pendidikan dan vokasional yang bertujuan untuk membasmi kemiskinan dan pengangguran.

Mesyuarat itu diadakan serentak dengan mesyuarat tahunan Lembaga Gabenor IDB ke-39 di sini pada 24 hingga 26 Jun ini di bawah naungan penjaga dua masjid suci dan disertai oleh menteri kewangan, ekonomi dan perancangan 56 negara anggota.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah akan mengetuai delegasi Malasyia ke mesyuarat tahunan terbabit.






IDB, dana wakaf

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain