suria

Amanahkan Seluruh Projek Penjanaan Elektrik Kepada TNB - MPM

Hasan Mad

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Melayu (MPM) pada Ahad mendesak kerajaan mengamanahkan kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk mengendalikan seluruh projek penjanaan tenaga elektrik.

Setiausaha Agungnya Datuk Dr Hasan Mad berkata selain diiktiraf beberapa negara luar melalui projek penjanaan tenaga, TNB juga mempunyai kepakaran yang diperlukan untuk mengendalikan projek seperti itu termasuk penjanaan tenaga berskala mega.

"Kita bukan nak salahkan kerajaan tetapi kami berpendapat sudah tiba masanya kerajaan buat keputusan yang lebih baik dengan menyerahkan amanah mengendalikan seluruh penjanaan tenaga elektrik kepada TNB.

"Selain berpengalaman, kemampuan yang diiktiraf serta memiliki teknologi yang boleh digunakan dalam projek penjanaan tenaga, hasrat kerajaan untuk menswastakan projek berkenaan juga mendapat tentangan banyak pihak, termasuk beberapa kesatuan pekerja TNB sendiri," katanya pada sidang media di Wisma Bernama di sini.

Beliau berkata MPM bersama 400 badan bukan kerajaan telah mengkaji dengan mendalam dan dengan segala kemahiran, teknologi dan pengalaman yang ada, mereka amat yakin TNB mempunyai kemampuan untuk mengendalikan projek penjanaan tenaga tanpa perlu diswastakan kepada pihak ketiga, iaitu Stesen Janakuasa Bebas (IPP).

Hasan berkata desakan itu tidak bermakna mereka berhasrat menjadikan TNB sebagai monopoli tetapi sejarah telah membuktikan implikasi dasar penswastaan yang dilaksanakan pada 1980-an melibatkan utiliti terutama tenaga dan air banyak membawa kesan negatif, berbanding sebaliknya.

Akur bahawa penswastaan juga membawa kebaikan seperti kejayaan Pos Malaysia Berhad, namun ia tidak sama dengan penswastaan sektor utiliti kerana penjanaan tenaga perlu mengambil kira perspektif keselamatan negara dan kepentingan rakyat.

Ditanya sama ada desakan itu mampu menarik perhatian kerajaan, Hasan berkata beliau yakin desakan MPM berserta NGO daripada pelbagai bidang kepakaran itu akan didengari kerana kerajaan sendiri memberi pengiktirafan kepada TNB dengan meminta mereka melakukan lebih banyak bidaan bagi projek penjanaan tenaga di luar negara.

"Jadi, MPM berpendapat belum terlambat untuk kerajaan membuat keputusan mengamanahkan seluruh projek penjanaan elektrik kepada TNB, termasuk projek yang telah diswastakan kepada pihak lain selepas kontrak mereka berakhir," katanya.

Berhubung keputusan YTL Power International Bhd menarik diri daripada mengambil bahagian dalam pembangunan cadangan Projek 4A, beliau berkata MPM mengalu-alukan tindakan itu dan kerajaan perlu menggunakan kesempatan itu untuk menyerahkan sepenuhnya kepada TNB untuk dilaksanakan.

Projek 4A bagi membangunkan satu loji tenaga 1,000-1,400 megawatt di Johor dirancang dibangunkan secara konsortium melibatkan YTL Power, Tenaga Nasional Bhd (Tenaga) dan SIPP Energy Sdn Bhd dijangka menyumbang kira-kira 7.0 peratus kepada pendapatan tahun kewangan YTL Power pada 2019. 

TNB, MPM, YTL

Artikel Sebelum

Artikel Lain