suria

Bank-Bank Islam Digesa Lebih Inovatif Untuk Tarik Dana Asing

KUALA LUMPUR: Bank-bank Islam di Malaysia digesa menyediakan produk dan peralatan yang lebih inovatif bagi menarik dana asing, terutama dari Timur Tengah.


Sambil membuat gesaan itu, Syed Alwi Mohamed Sultan, Naib Presiden Eksekutif Bahagian Perkhidmatan Korporat Bank Muamalat Malaysia Bhd berkata, peralatan dan produk inovatif itu mampu menarik pelabur asing terlibat dalam projek dalam negara, terutama projek Program Transformasi Ekonomi.

"Kita perlu menawarkan inovasi yang sepadan dengan keperluan dan permintaan pelabur memandangkan sebahagian mereka memerlukan pulangan pendapatan tetap, ada yang mahu melabur dalam segmen khusus manakala yang lain bersedia mengambil risiko tambahan.

"Jika kita mahu menjadi hab global kewangan Islam, kita tidak boleh hanya bergantung kepada kecairan domestik dan bergantung kepada satu set produk yang menampung pelabur yang berpangkalan di Malaysia," katanya kepada Bernama di luar acara sidang kemuncak Perbankan Malaysia 2014 kali ke-16 di sini, Jumaat.

Bercakap pada sesi sidang kemuncak dua hari itu, beliau berkata, banyak lagi yang boleh dilakukan oleh industri pengurusan aset untuk menarik pelabur asing melabur di Malaysia.

Bagi terbitan sukuk, beliau berkata industri itu boleh menarik penerbit asing melabur di negara ini, menarik mereka untuk menerbitkan sukuk di Malaysia, atau penerbit tempatan boleh pergi ke luar negara dan mengumpul dana dalam pasaran asing.

Beliau berkata, penduduk Islam, seramai 600 juta di rantau Asia Pasifik, menawarkan peluang perniagaan yang besar, bukan sahaja untuk bank-bank Islam Malaysia, malah penggiat serantau memandangkan kumpulan ini memerlukan produk dan penyelesaian berlandaskan Syariah, yang kebanyakannya tidak memperoleh kemudahan itu pada masa ini.

"Berdasarkan jumlah penduduk yang besar ini, wujud peluang besar untuk kita menyediakan makanan Halal, kosmetik, ubat-ubatan dan lain-lain, dan bank-bank Islam boleh menyokong syarikat menjalankan perniagaan Halal, dan sekali gus keseluruhan ekonomi akan berkembang," katanya.

Pada 2013, jumlah aset dalam pasaran kewangan Islam global berjumlah US$1.8 trilion, dengan Asia Pasifik menyumbang 30 peratus, dan diunjur melebihi paras US$2.0 trilion pada akhir tahun.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain