suria

Bank Muamalat Sasar 20 Peratus Pelanggan Sertai Perwarisan Harta

KUALA LUMPUR: Bank Muamalat (Malaysia) Bhd menyasar 20 peratus daripada 700,000 pemegang akaunnya akan menyertai program perkhidmatan pengurusan pewarisan harta pusaka sehingga hujung tahun ini, susulan kerjasamanya dengan MyAngkasa Amanah Bhd.


Di bawah kerjasama strategik yang dimeterai pada Rabu, Bank Mualamat memberi hak kepada MyAngkasa Amanah bagi pembekalan dan pengurusan wasiat kepada pelanggan bank tersebut, terutamanya pelanggan Jabatan Perbankan Konsumer.

"Perjanjian ini adalah bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengurusan dan pentadbiran wasiat dalam kalangan orang awam, khususnya pelanggan bank.

"Kami menyasarkan seramai yang boleh dan berharap pada tahun hadapan, 50 peratus daripada jumlah pemegang akaun akan turut serta," kata Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangai Perjanjian Pakatan Strategik itu, yang turut dihadiri oleh Pengerusi MyAngkasa Amanah Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Menurut Fattah, perkhidmatan yang disediakan merangkumi perancangan sehingga kepada pentadbiran harta pusaka dan Bank Mualamat akan jadi rakan niaga dalam wasiat, amanah, hibah serta pusaka bagi tempoh pakatan tiga tahun.

Beliau berkata, perjanjian seumpamanya adalah yang pertama melibatkan institusi kewangan.

Bagi tahun ini, MyAngkasa Amanah merancang untuk menambah bilangan rakan niaga sebanyak sembilan institusi kewangan dan 20 dari koperasi-koperasi yang ada di Malaysia.

"Kami turut menyasarkan untuk mengendali 7,000 kes berbentuk wasiat dan hibah yang mempunyai nilai kasar hampir RM2.1 bilion," tambahnya.

MyAngkasa Amanah ditubuhkan di bawah Akta Syarikat Amanah 1949 bagi meningkatkan kecekapan dalam pentadbiran pusaka, pengamanahan individu dan pengamanahan korporat.

Berdasarkan statistik, nilai harta pusaka yang tidak diuruskan di Malaysia mencecah RM66.6 bilion sehingga September 2013.




Artikel Lain