suria

PNB Umum Agihan Pendapatan 6.60 Sen Bagi Amanah Saham Didik

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), unit milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.60 sen seunit bagi Amanah Saham Didik (ASD) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2014.


Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, walaupun agihan pendapatan itu turun 20 sen berbanding 6.80 sen seunit yang dibayar pada tahun sebelumnya tetapi jumlah peruntukan keseluruhan agihan meningkat kepada RM317.46 juta berbanding RM303.73 juta tahun lepas.

"Peruntukan bagi pengagihan pendapatan sebanyak RM317.46 juta ini adalah 4.5 peratus lebih tinggi daripada jumlah pengagihan pendapatan bagi tahun berakhir 30 Jun 2013 iaitu sebanyak RM303.73 juta," kata beliau pada sidang akhbar di sini pada Rabu.

Agihan itu akan memberi manfaat 328.672 pemegang unit yang secara kolektif memiliki 4.81 bilion unit ASD.

ASD merupakan dana pertumbuhan ekuiti berharga tetap bagi menyediakan peluang pelaburan yang boleh menjana pertumbuhan jangka panjang dan pulangan kompetitif kepada pemegang unit.

Sehingga 16 Jun, dana pendapatan kasar ASD adalah sebanyak RM437.94 juta dengan keuntungan daripada jualan saham menyumbang RM255.14 juta (58.3 peratus) kepada jumlah pendapatan.

Pendapatan dividen daripada syarikat penerima pelaburan menyumbang RM129.82 juta (29.6 peratus) dan baki RM52.98 juta (12.1 peratus) daripada instrumen jangka pendek dan pendapatan lain.

Ahmad Sarji berkata, melalui strategi pelaburan berhemat, unit amanah ASD menjana pulangan yang memuaskan walaupun dalam persekitaran pelaburan yang mencabar.

"Kadar pengagihan pendapatan ASD ini adalah berpatutan jika dibandingkan dengan instrumen-instrumen pelaburan lain yang sesuai dijadikan perbandingan, setelah mengambil kira keadaan ekonomi semasa," katanya.

Pengiraan agihan pendapatan berdasarkan kepada purata baki minimum bulanan yang dipegang sepanjang tahun kewangan ASD dan akan secara automatik dilaburkan semula dalam bentuk unit dan dikredit ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Julai.

Semua transaksi ASD, di pejabat dan ejen ASNB, akan digantung mulai 25 Jun hingga 30 Jun untuk memudahkan pengiraan agihan pendapatan itu dan pemegang unit boleh mengemas kini akaun mereka pada 1 Julai.

Penyata agihan pendapatan dan laporan tahunan dana akan dihantar kepada pemegang unit mulai pertengahan Ogos.

Bagi pemegang unit yang melanggan ASD melalui Skim Pelaburan Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), agihan pendapatan akan dikreditkan secara terus ke dalam akaun KWSP mereka.

ASD ialah instrumen pelaburan yang menawarkan pelan kewangan bagi menyediakan keperluan kewangan masa depan bagi perbelanjaan pendidikan pelabur dan keluarga.

Semantara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, pengagihan pendapatan sebanyak 6.60 sen pada tahun ini dibuat setelah mengambil kira keperluan untuk memastikan ASD dapat memberi pulangan yang kompetitif beterusan.

"Tahap kemampuan yang boleh kita bayar sebenarnya kalau mengambil kira dengan rizab sekali adalah 11.5 sen.

"Tetapi kita bayar 6.60 sen dan selebihnya kita bawa ke depan untuk pastikan pada tahun-tahun hadapan ini kita dapat terus memberikan pulangan yang kompetitif," katanya.

Beliau berkata, agihan yang diberikan juga diyakini mampu memenuhi jangkaan pelabur sekaligus mengekalkan pelaburan mereka dalam ASD.

Mengenai Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2), Hamad Kama Piah berkata, PNB telah pun menjual sebanyak 703.4 juta unit saham amanah berkenaan sejak ia dilancarkan pada 2 April lalu.

"Ini menggambarkan penerimaan yang cukup baik walaupun sasaran kita untuk unit ini cukup besar iaitu RM10 bilion, tetapi dari segi peningkatan hari demi hari, kita melihat penambahan yang cukup baik.

"Semasa kita melancarkan produk-produk terdahulu, selepas sebulan dua biasanya 200 juta unit atau 300 juta unit sahaja terjual, tetapi ASB 2 telah pun melepasi 700 juta unit," katanya.

Dari segi bilangan pelabur pula, beliau berkata seramai 39,649 orang telah menyertai unit pelaburan itu sejak ia dilancarkan.

Dengan mengekalkan ciri-ciri yang terdapat pada ASB, ASB 2 menyasarkan kepada golongan Bumiputera, terutama golongan muda ataupun 'Gen-Y' dan pemegang-pemegang unit ASB yang telah mencapai had maksimum 200,000 unit serta ingin mempelbagaikan dan meningkat pelaburan mereka di dalam tabung unit amanah ASNB.

Artikel Lain