suria

Choo Bee Metal Ingin Kembang Modal RM23 Juta

IPOH: Pembuat produk keluli Choo Bee Metal Industries Bhd, akan menumpukan ke atas projek pengembangan modal berjumlah RM23 juta tahun ini untuk kekal berdaya saing dan mengukuhkan perkongsian pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Simon Soon Cheng Hai berkata ini termasuk meluaskan gudang di Ipoh dan di Kapar, Selangor untuk membolehkan penyimpanan produk perdagangan dan perkilangan.

"Untuk Kapar, selain meningkatkan inventori stok untuk meningkatkan daya saing, pengembangan gudang juga akan membantu memudahkan penghantaran dengan memendekkan tempoh perjalanan ke pasaran di Lembang Klang.

"Pelanggan kini boleh mengurus sendiri pengambilan barang-barang yang dibeli untuk memenuhi keperluan dan tempoh masa penghantaran mereka sendiri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Choo Bee Metal di sini, Jumaat.

Beliau berkata barisan pengeluaran semasa untuk pelbagai saiz yang popular telah mencapai kapasiti optimum dan pelaburan baharu diperlukan untuk menambah peralatan.

"Pelaburan dalam barisan perkakasan baharu ini bertujuan menangani peningkatan permintaan dan mengurangkan masa pusingan untuk saiz produk yang popular," katanya.

Menurut Soon, sebagai tambahan kepada kilang tiub baru ini, syarikatnya telah menaik taraf dan memodenkan jentera semasa untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran dan penampilan produk dengan menggunakan teknologi pemotongan paip yang lebih canggih.

Kumpulan itu akan meneruskan strategi perniagaan dengan meningkatkan daya saing melalui produktiviti yang lebih tinggi dan kecekapan operasi dalam menghadapi cabaran, dan berharap mencapai prestasi yang membanggakan untuk 2014, katanya.


Metal

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain