suria

RM3.7 Bilion Bina Taman Teknologi Nusajaya Dalam 3 Fasa

Lakaran Taman Teknologi Nusajaya dengan nilai kasar RM3.7 bilion.
NUSAJAYA: Taman Teknologi Nusajaya dengan nilai pembangunan kasar RM3.7 bilion, akan dibangunkan dalam tiga fasa bagi tempoh sembilan tahun.

Projek usaha sama 60:40 antara Ascendas Pte Ltd dan UEM Sunrise Bhd dengan keluasan lebih 210 hektar itu boleh menampung kira-kira 200 perusahaan apabila ia siap kelak.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ascendas, Manohar Khiatani berkata, bagi fasa permulaan, mereka menerima 40 peratus komitmen awal untuk kemudahan siap bina.

"Kami juga telah berbincang dengan banyak syarikat lain yang memerlukan kemudahan yang dibina mengikut keperluan. Syarikat utama seperti Sanwa Group, YCH Group dan Vads Bhd juga menimbang kemungkinan memindahkan operasi mereka di sini," katanya kepada pemberita pada upacara pecah tanah di sini, Khamis.

Sanwa mungkin memerlukan kemudahan seluas 72,000 kaki persegi bagi kejuruteraan jitu dan operasi pembuatan mereka manakala YCH Group akan bergabung dengan Taman Teknologi Nusajaya untuk menimbang kemungkinan membangunkan kemudahan rantaian bekalan canggih.

Sementara itu, Vads Malaysia akan meneroka potensi membuka pusat data di taman ini.

Fasa permulaan, dengan kemudahan siap bina seluas lebih 28 hektar dan plot tanah bagi pembangunan bina mengikut keperluan akan mula dibangunkan dalam masa beberapa bulan lagi dan dijangka siap menjelang 2016.

Nusajaya Tech Park sesuai bagi syarikat-syarikat yang terlibat dalam elektronik, kejuruteraan jitu, farmaseutikal, peranti perubatan, pemprosesan makanan dan barangan pengguna cepat laris, disokong oleh logistik yang efisien dan perkhidmatan rumah gudang.

Taman itu yang terletak hanya beberapa minit daripada Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura juga dibangunkan dengan pelan induk keselamatan menyeluruh bagi meningkatkan keselamatan penyewa, kakitangan, aset dan operasi.

Artikel Lain