suria

RM800 Juta Bagi Hospital Baharu, Perkukuh Sektor Penjagaan Kesihatan - JCorp

NUSAJAYA: Perbadanan Johor (JCorp), melalui unit penjagaan kesihatannya, KPJ Healthcare Bhd, akan membelanjakan RM800 juta bagi hospital baharu dan kerja pembesaran dalam beberapa tahun akan datang sebagai sebahagian strategi untuk memperkukuh perniagaan penjagaan kesihatannya.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, pada mulanya ia memperuntukkan RM1.2 bilion bagi tujuan itu, tetapi telah menggunakan sebahagian daripadanya dan kini berbaki RM800 juta.

Antara hospital baharu itu ialah Hospital Pakar Maharani, Muar; Hospital Pakar Pahang, Kuantan; Hospital Pakar Jayapura Kuching, Sarawak.

"Beberapa buah hospital KPJ yang ada sekarang akan juga melalui kerja-kerja pembesaran. Hospital-hospital itu termasuklah Hospital Pakar KPJ Tawakkal, (dan) Hospital Pakar KPJ Selangor," katanya kepada pemberita dalam satu taklimat media di sini, Rabu.

Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud.

Sebelum itu, Azman mengumumkan dari 2013 hingga Mei tahun ini, MIDA meluluskan lapan projek pelancongan penjagaan kesihatan bernilai RM561.4 juta.

Mengenai sektor minyak dan gas, Kamaruzzaman berkata, melalui anak syarikatnya, Langsat Marine Base Inc, kumpulan itu akan membangunkan sebuah pangkalan bekalan marin serantau di Pelabuhan Tanjung Langsat bersama Oilfields Supply Center Ltd dari Dubai yang melibatkan kawasan seluas 11 hektar.

Beliau berkata, kerja pembinaan bagi fasa satu kemudahan itu sedang dilaksanakan dengan pelaburan permulaan berjumlah lebih RM226 juta yang merangkumi kos tanah, bangunan dan kemudahan prasarana.

Ia dijangka siap menjelang suku ketiga 2015.

Beliau berkata, syarikat itu akan melabur kira-kira RM200 juta lagi dalam lima tahun akan datang bagi fasa dua. 


JCorp, KPJ Healthcare Bhd

Artikel Lain