suria

Simpanan Minyak Sawit Meningkat 4.2 Peratus

KUALA LUMPUR: Simpanan minyak sawit meningkat sebanyak 4.2 peratus kepada 1.84 juta tan metrik pada Mei 2014 daripada 1.77 juta tan metrik pada April, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Lembaga itu berkata simpanan minyak sawit mentah (MSM) merosot 2.48 peratus kepada 978,829 tan metrik bulan lepas manakala simpanan minyak sawit diproses bertambah 12.99 peratus kepada 861,548 tan metrik.

Simpanan isi rung sawit berada pada paras 1.92 peratus lebih tinggi berjumlah 142,209 tan metrik pada Mei manakala simpanan minyak isi rung sawit susut 1.83 peratus kepada 151,419 tan metrik pada bulan sebelumnya, katanya.

Pengeluaran MSM pada Mei 6.5 peratus lebih tinggi pada 1.66 juta tan metrik daripada 1.56 juta tan metrik yang dicatatkan pada April.

Pengeluaran isi rung sawit pada Mei mengukuh 2.63 peratus kepada 399,248 tan metrik daripada 389,028 tan metrik yang dicatatkan pada April manakala pengeluaran minyak isi rung sawit bertambah 5.0 peratus kepada 185,823 tan metrik.

Pengeluaran dedak isi rung sawit meningkat 6.27 peratus kepada 207,409 tan metrik pada Mei daripada 195,163 tan metrik yang dicatatkan pada April.

MPOB berkata eksport minyak sawit pada Mei bertambah 10.74 peratus kepada 1.4 juta tan metrik daripada 1.27 juta tan metrik pada April.

Menurutnya, import MSM melonjak 301.46 peratus bulan lepas kepada 8,025 tan metrik manakala import minyak sawit diproses meningkat 3.93 peratus kepada 42,673 tan metrik pada Mei.

MPOB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain