suria

Prestasi Bumi Armada Lebih Baik Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Armada Bhd yakin pencapaiannya lebih baik tahun ini berikutan prestasi yang cemerlang tahun lalu, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hassan Assad Basma.

Beliau berkata, perniagaannya kukuh pada tahun kewangan lepas di mana pendapatan penyedia perkhidmatan medan minyak pesisir pantai antarabangsa itu meningkat 24.9 peratus kepada RM2.1 bilion dan keuntungan bersih naik 11.8 peratus kepada RM431.2 juta.

Hassan berkata, syarikat itu telah menerima surat niat untuk unit penyimpanan pengeluaran terapung dan pemunggahan (FPSO) terbesar untuk medan ENI Blok 15/16 Angola yang akan menambah RM9.5 bilion kepada nilai kontrak yang diperolehi syarikat.

Di segi geografi, syarikat akan terus mencari prospek menarik di sepanjang koridor Atlantik di rantau seperti pantai Barat Afrika serta Amerika Latin.

"Empat bidaan telah dikemukakan di koridor Atlantik dan diharapkan satu atau lebih banyak bidaan lagi akan muncul," kata Hassan kepada Bernama selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, Selasa.

Sementara itu, laporan tahunan terkini syarikat itu berkata, Bumi Armada telah berjaya dalam pra-kelayakan untuk membida lebih daripada lapan projek FPSO utama yang secara keseluruhannya akan memerlukan modal perbelanjaan di antara US$12 bilion hingga US$15 bilion.

Hassan dipetik sebagai berkata dalam laporan itu, bahawa projek itu dijangka diperolehi mulai tahun ini sehingga 2017.

"Ketika ini, sumbangan daripada FPSO kekal sekitar 70 peratus, bagaimanapun pada masa depan kami akan cuba menyeimbangkan portfolio itu kepada 60:40 atau 50:50 di antara FPSO dan perkhidmatan kami yang lain," katanya.

Di samping FPSO sebagai perniagaan utama semasa, Bumi Armada juga menawarkan kapal sokongan, pengangkutan dan pemasangan, perkhidmatan medan minyak serta perkhidmatan pembangunan dan teknologi gas.


Bumi Armada

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain