suria

Dadih Segaria Sasar Tawan Bazar Ramadan

KUALA TERENGGANU: Sempena Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi, MSA Segaria, sebuah syarikat pengusaha dadih, menyasarkan jualan 5,000 cawan dadih keluarannya seminggu di bazar Ramadan di sekitar Kuala Terengganu.

Pengusahanya, Rohaya Abd Wahab berkata, pada bulan lain dadih berharga 80 sen secawan itu mampu dijual 4,000 cawan seminggu.

"Saya memproses 1,000 cawan setiap hari untuk jualan harian disebabkan persaingan yang begitu banyak sekarang ini," katanya pada Isnin.

Rohaya berkata, dadih itu dijual dengan harga 80 sen secawan kepada peruncit dan penjaja manakala harga runcit pula RM1.20 secawan.

Dadih yang dihasilkan kilang di Kampung Wakaf Tembesu itu mempunyai pelbagai perisa seperti strawberi, jagung, coklat, vanila dan bandung serta perisa asli dengan bantuan teknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

"Dulu saya menggunakan susu lembu segar yang dibeli daripada penternak di sekitar Kampung Tok Jiring dekat sini. Tetapi kini sukar untuk mendapatkan bahan itu, jadi atas nasihat Mardi saya gunakan susu tepung," katanya.

Menurutnya, penggunaan susu lembu segar agak rumit berbanding susu tepung kerana susu segar perlu berkualti tinggi dan ia mudah menjadi masam.

Rohaya berkata, beliau tidak sukar memasarkan produknya kerana mempunyai pasaran tetap seperti di sekolah, pasar malam dan pasar tani.

"Biasanya kanak-kanak gemarkan dadih yang mempunyai pelbagai perisa, jadi saya perlu tentukan yang mana untuk dijual di sekolah dan yang mana untuk pasar malam," katanya.

Beliau mula menceburi perniagaan itu bermodalkan RM500 sebagai pengedar produk susu berperisa keluaran Jabatan Veterinar pada 1990. Dua tahun kemudian selepas mempelajari cara memprosesnya daripada Mardi, beliau menghasilkan dadihnya sendiri.

"Pada mulanya hanya secara kecil-kecilan sebelum mengembangkan perniagaan dengan membeli mesin memproses dadih berharga RM400,000," katanya.

Menurutnya, selain simpanan sendiri, kerajaan negeri memberi pinjaman 70 peratus untuk membeli mesin berkenaan.

Berkat usaha gigihnya, Rohaya menerima Anugerah Usahawan Tani Kebangsaan 1998 di Kedah dan juga Anugerah Usahawan Negeri Terengganu 2003.

Segaria

Artikel Lain