suria

Fesyen, Produk Gaya Hidup Malaysia Tarik Perhatian Perancis

KUALA LUMPUR: Misi pemasaran khusus Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) yang terdiri daripada 18 firma tempatan ke Perancis menjana hasil perniagaan awal berjumlah RM4.23 juta bagi fabrik, pakaian berjenama dan kasut Malaysia.

Matrade berkata tujuan misi itu ialah untuk memperkenalkan kreativiti dan ide Malaysia tentang peralihan fabrik tradisi Malaysia batik, songket dan kain tenun yang dijelmakan sebagai koleksi yang bergaya dan cantik, menghasilkan adunan anggun dengan membawa unsur-unsur unik Timur ke Barat.

Misi sempena Sidang Kemuncak Wanita Global 2014 itu bertujuan memperluaskan eksport ke pasaran gaya hidup mewah Perancis serta meningkatkan imej Malaysia dalam industri fesyen khususnya di Paris, salah sebuah kota fesyen yang terkemuka di dunia, katanya alam satu kenyataan pada Jumaat.

Pameran tiga hari dan pertemuan perniagaan yang telah diaturkan terlebih dahulu bagi syarikat Malaysia itu telah dihadiri oleh lebih 200 syarikat Perancis termasuk dari gedung-gedung fesyen dan pereka fesyen mewah seperti Roberto Cavalli, Dominique Sirop, Georges Rech dan Olivier Lapidus, Agnes B, Antik Batik dan gedung pakaian seperti Galaries La Fayettes dan Maison de Mode.

Sementara itu, Pengasas Lewre Couture, Datuk Lewre Liew, juga melancarkan rangkaian kasut baharu Lewre Couture yang bertema Madame de Pampadour, yang menampilkan fesyen songket yang tidak lapuk dek zaman, ciptaan yang benar-benar Timur Bertemu Barat.

"Saya gembira pereka Perancis kagum dengan kecantikan songket yang boleh dikaitkan dengan warisan mereka melalui satu koleksi kasut baharu yang saya cipta," kata Liew.

Peserta Malaysia akan menerima lawatan susulan hasil hubungan yang terjalin dengan syarikat-syarikat Perancis dalam bulan-bulan akan datang.


Malaysia, Perancis, Matrade

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain