suria

MMC-Gamuda Sasar Buka Akademi Latihan Terowong di New Delhi

Yun Ling (empat dari kanan) bersama kumpulan pertama pelatih warga India yang akan mengikuti latihan di TTA, New Delhi.
SHAH ALAM: MMC-Gamuda Sdn Bhd merancang membuka sebuah lagi Akademi Latihan Terowong (TTA) di New Delhi, India, bagi memenuhi keperluan semasa perkhidmatan pengangkutan awam di negara itu.

Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Berhad, Datuk Lin Yun Ling berkata, idea untuk membuka TTA di India dibuat hasil perkongsian kepakaran dan latihan bersama Delhi Metro Rail Corporation Ltd (DMRC) yang sedang menambah baik sistem pengangkutan awam di negara itu.

Menurutnya, keperluan untuk menyediakan latihan kemahiran secara lebih realistik iaitu di tapak sebenar projek, penting supaya pelatih mudah mengadaptasi dan mempelajari teknik yang diajar dengan lebih berkesan.

"DMRC yang mengutamakan sumber dan kemahiran yang diperlukan oleh kontraktor mereka, sedang mengkaji kemungkinan menghantar pekerja syarikat kontraktor ke sini untuk dilatih di TTA di Shah Alam.

"Berikutan itu, kami merancang membuka TTA di India supaya latihan dapat dijalankan lebih dekat dengan tapak kerja," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau sebelum itu menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan DMRC yang diwakili Pengarah Urusannya, Mangu Singh, bagi menyediakan latihan jangka panjang di TTA serta berkongsi kepakaran dalam bidang berkaitan dengan syarikat tersebut.

Katanya, 10 kontraktor dari DMRC telah menamatkan latihan selama dua minggu di TTA baru-baru ini, merangkumi aspek latihan khusus, latihan teknikal serta kemahiran.

Tambah Lin, TTA turut menyasarkan untuk melatih 1,000 tenaga kerja tempatan dalam bidang tersebut menjelang 2017. Setakat ini 508 pelatih sudah memulakan kerjaya dalam pelbagai sektor berkaitan pembinaan terowong di negara ini.

Sementara itu, Mangu berkata usaha sama MMC-Gamuda merupakan peluang terbaik bagi syarikat tersebut, memandangkan aspek latihan yang ditawarkan TTA tidak terdapat di negara itu, selain ia mampu melengkapkan kemahiran jurutera di India dalam aspek pembinaan terowong.

"Latihan yang ditawarkan penting dalam membantu jurutera kami memperoleh pengalaman amalan dalam pelbagai aspek mengenai TBM (mesin pengorek terowong) dengan peserta didedahkan dengan pembinaan sebenar terowong yang berlaku di bawah tanah," katanya.


Artikel Lain