suria

PSI Incontrol Sasar 30 Peratus Pertumbuhan Pendapatan Tahun Ini

KUALA LUMPUR:Syarikat kejuruteraan utiliti, PSI Incontrol Sdn Bhd, menyasarkan 30 peratus pertumbuhan pendapatan tahun ini, diperkukuhkan oleh momentum daripada pasaran Timur Tengah.

Syarikat mencatatkan RM100 juta pendapatan tahun lepas, meningkat daripada RM80 juta pada 2012, dan menjangkakan peningkatan momentum tahun ini, kata Pengerusi dan Pengarah Urusan, Harvinder Singh.

"Pada masa ini, terdapat 40 tender terbuka di rantau Timur Tengah, dan kami berharap untuk memperoleh 10 hingga 15 projek antara tahun ini dan tahun depan," katanya pada taklimat media untuk mengumumkan projek terbaharunya yang diperoleh di Bahrain.

Mengenai projek akan datang, syarikat menjangkakan nilai perolehan kontrak meningkat 30 peratus tahun ini daripada RM104 juta tahun lepas, katanya.

Syarikat yakin untuk memperoleh projek air dan elektrik di Bahrain menjelang separuh kedua tahun ini, kata Harvinder.

Ini susulan daripada perolehan terbaharu kontrak setahun bernilai RM4.5 juta di Bahrain. Kontrak bermula bulan lepas untuk memberi perkhidmatan penggantian unit terminal jarak jauh grid kuasa Pihak Berkuasa Air dan Elektrik.

"Nilai kontrak tidak penting pada peringkat ini tetapi ia akan memberi kami rujukan yang kuat dan kami menyasarkan janji niaga yang bernilai berjuta-juta ringgit," kata Harvinder.

Selain Bahrain, syarikat menyasarkan projek di Qatar, Oman, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu.

PSI Incontrol menetapkan sasaran untuk mencecah RM1 bilion pendapatan menjelang 2022.

Pasaran luar negara dijangka menyumbang 60 peratus kepada jumlah pendapatan tahun ini, meningkat daripada 50 peratus pada tahun lepas, kata Harvinder. 


Artikel Berikut

Artikel Lain