suria

Sime Darby Yakin Dapat Capai Sasaran Keuntungan

Naib Presiden Eksekutif Sime Darby, Alan Hamzah dan Tong Poh Keow selepas mengumumkan prestasi kewangan kumpulan.
KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd yakin dapat mencapai petunjuk prestasi keuntungan bersihnya sebanyak RM2.8 bilion atau lebih baik sedikit dalam tahun kewangannya yang berakhir pada 30 Jun tahun ini.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Tong Poh Keow berkata pertumbuhan akan disokong sumbangan daripada bahagian hartanah dan anggaran keuntungan bersih RM56.3 juta menerusi penjualan Port Dickson Power.

"Bahagian hartanah kami mencatatkan prestasi baik, bahagian perladangan berdepan cabaran, saya rasa cabaran terbesar bagi kami ialah bahagian perindustrian," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan prestasi kewangan kumpulan di sini, Khamis.

Tong berkata Sime Darby mahu mengekalkan pertumbuhannya secara organik dan menekankan bahawa kumpulan itu menyasar pengambilalihan dalam strategi jangka panjangnya.

Beliau berkata kumpulan itu sedang membangunkan fasa ketiga projek Stesen Jana Kuasa Battersea di London.

Fasa itu yang terdiri daripada 1,300 rumah, 160 bilik hotel dan 350,000 kaki persegi (kira-kira 32,516 meter persegi) ruang runcit dan restoran serta tambahan ruang liburan, akan dilancarkan pada akhir 2014.

Tong berkata kekukuhan ringgit menjejaskan harga minyak sawit mentah.

Cabang perniagaan tani dan perladangan kumpulan, Sime Darby Plantation Sdn Bhd menjangka pengeluaran tandan buah segar (FBB) turun lima hingga enam peratus dalam tahun kewangannya yang berakhir pada 30 Jun, 2014, berbanding 10.13 juta tan metrik dalam tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun, 2013.

Pengarah Urusannya Datuk Franki Anthony Dass berkata pengeluaran rendah itu disebabkan terutamanya musim kering berterusan di Indonesia, sambil menambah harga purata MSM bagi baki tahun kewangannya dijangka berada antara RM2,450 dan RM2,500 setan metrik.

Harga purata MSM dalam tempoh sembilan bulan yang berakhir pada 31 Mac, 2014 ialah RM2,439 setan metrik berbanding RM2,338 setan metrik dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"Malahan sekarang, harga semasa turun kepada RM2,483 setan metrik kerana penurunan permintaan dari China dan India dan kemudiannya hasil tanaman yang luar biasa banyaknya.

"Kesan El Nino akan dirasai kemudiannya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain